
DHAKA, 3 Ogos – Wabak campak paling buruk di Bangladesh dalam beberapa dekad telah meragut ratusan nyawa kanak-kanak, selain memberi kesan ekonomi besar kepada keluarga terjejas, menurut kumpulan bantuan kemanusiaan.
- Sekurang-kurangnya 844 kanak-kanak maut dan lebih 112,000 individu mendapatkan rawatan di hospital sejak 15 Mac.
- Sembilan daripada 10 keluarga berhutang menampung kos lain seperti ubat, pengangkutan; purata perbelanjaan melebihi AS$130.
- Jurang imunisasi selepas pergolakan politik 2024 menyumbang kepada wabak; Bangladesh jalankan kempen vaksinasi besar-besaran tetapi jangkitan masih berlaku.
Berdasarkan angka jabatan kesihatan, sekurang-kurangnya 844 kanak-kanak meninggal dunia manakala lebih 112,000 individu mendapatkan rawatan di hospital akibat penyakit itu sejak 15 Mac lalu.
Menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) serta Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh, sembilan daripada 10 keluarga yang terjejas akibat wabak campak terpaksa berhutang bagi menampung kos rawatan.
“Kesan daripada campak ini tidak berakhir di pintu hospital, kerana keluarga sering berdepan kesukaran kewangan yang serius,” kata Ketua IFRC di Dhaka, Alberto Bocanegra.
“Bantuan kemanusiaan dan sistem perlindungan sosial yang kukuh amat diperlukan ketika berlaku kecemasan kesihatan awam,” katanya.
Kedua-dua organisasi itu menjalankan penilaian terhadap 2,746 keluarga yang mendapatkan rawatan untuk anak mereka di 12 kemudahan kesihatan kerajaan.
Walaupun rawatan hospital disediakan secara percuma, kos berkaitan seperti ubat-ubatan, pengangkutan dan keperluan harian menyebabkan beban kewangan meningkat.
Sebanyak 35 peratus keluarga yang dikaji memerlukan bantuan kewangan untuk membeli ubat, manakala 22 peratus memerlukan bantuan makanan.
Kebanyakan keluarga terjejas datang daripada komuniti berpendapatan rendah dan bergantung pada pekerjaan tidak formal dengan pendapatan antara AS$48 hingga AS$160 sebulan.
Penilaian mendapati keluarga yang terjejas membelanjakan purata lebih AS$130 untuk rawatan dan perbelanjaan berkaitan.
Hazera Khatun, salah seorang responden kajian, berkata walaupun rawatan di hospital kerajaan percuma, kos lain masih perlu ditanggung.
Beliau dilaporkan membelanjakan kira-kira AS$200 untuk mendapatkan ambulans ke hospital di Dhaka.
Selain kos rawatan, ramai penjaga turut kehilangan pekerjaan kerana perlu berada lama di hospital bagi menjaga anak yang sakit.
Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh, Kabir M. Ashraf Alam berkata penilaian itu menunjukkan banyak keluarga bukan sahaja berdepan krisis kesihatan, malah tekanan kewangan yang berat.
Campak adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit melalui batuk dan bersin, dan tiada rawatan khusus selepas seseorang dijangkiti.
Komplikasi penyakit itu boleh menyebabkan pembengkakan otak serta masalah pernafasan serius, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Jurang imunisasi semakin ketara ketika dan selepas pergolakan politik pada 2024, menyebabkan sejumlah besar kanak-kanak tidak mendapat perlindungan vaksin.
Bangladesh, yang mempunyai kira-kira 170 juta penduduk, kini melaksanakan kempen vaksinasi besar-besaran bagi membendung wabak berkenaan.
Namun, jangkitan dan kematian masih berlaku. Pada Ahad sahaja, empat kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat disyaki campak. – AFP