Seoul keluar amaran gelombang haba tahap teruk

Foto AFP

SEOUL, 3 Ogos – Agensi cuaca Korea Selatan mengeluarkan amaran gelombang haba tahap teruk bagi Seoul, yang pertama seumpamanya sejak kategori amaran itu diperkenalkan tahun ini sebagai peringatan kepada orang ramai mengenai suhu melampau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rekod suhu tertinggi baharu selama tiga hari berturut-turut; hampir 300 dimasukkan hospital akibat cuaca panas.
  • KMA ramal feels-like mencecah 35°C di beberapa daerah, dan suhu boleh meningkat sehingga 38°C mulai pukul 11.00 pagi Selasa.
  • Orang ramai dinasihati hentikan atau tangguhkan aktiviti luar, berpindah ke tempat lebih sejuk seperti ruang berhawa dingin atau pusat perlindungan.

Korea Selatan mencatat rekod suhu tertinggi baharu selama tiga hari berturut-turut pada Jumaat, Sabtu dan Ahad, dengan suhu mencecah 42.5 darjah Celsius, sekali gus menyebabkan hampir 300 individu dimasukkan ke hospital akibat cuaca panas, menurut pihak berkuasa kesihatan.

Gelombang haba berterusan pada Isnin, namun suhu tidak melepasi rekod yang dicatatkan hujung minggu lalu.

Bagaimanapun, Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) mengeluarkan amaran gelombang haba tahap teruk pertama bagi Seoul, dengan memaklumkan beberapa daerah di ibu negara yang mempunyai kira-kira sembilan juta penduduk itu dijangka terus berdepan suhu yang amat tinggi.

Menurut KMA, Isnin merupakan hari kedua berturut-turut suhu yang dirasai atau feels-like temperature di beberapa daerah mencecah 35 darjah Celsius.

Agensi itu turut meramalkan suhu berkenaan boleh meningkat sehingga 38 darjah Celsius mulai pukul 11.00 pagi waktu tempatan pada Selasa.

“Aktiviti dan kerja di luar bangunan perlu dihentikan atau ditangguhkan sebanyak mungkin. Orang ramai disaran berpindah ke lokasi yang lebih sejuk seperti ruang berhawa dingin atau pusat perlindungan daripada cuaca panas,” menurut amaran itu.

Penduduk di Seoul dilihat menggunakan kawasan berbumbung dan teduhan ketika berjalan ke tempat kerja pada Isnin bagi mengelakkan pendedahan kepada cahaya matahari secara langsung, termasuk pada waktu pagi.

Kategori amaran gelombang haba tahap teruk diperkenalkan Korea Selatan tahun ini, selaras dengan langkah beberapa negara lain yang turut memperkenalkan sistem amaran bagi suhu melampau.

Di Jepun, beberapa bandar turut mengalami “hari panas melampau”, istilah meteorologi baharu yang digunakan bagi merujuk kepada suhu melebihi 40 darjah Celsius.

Saintis memberi amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba dijangka menjadi lebih kerap dan lebih teruk akibat perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.