
MOSCOW, 3 Ogos – Enam orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan dron Ukraine ke atas sebuah perkampungan peranginan Rusia di pantai Laut Hitam, manakala sekurang-kurangnya 40 cedera.
- Rakaman menunjukkan objek dipercayai dron melanggar kawasan pantai yang dipenuhi pengunjung di resort.
- Gabenor dilantik Moscow melaporkan empat terbunuh dalam serangan Ukraine ke atas semenanjung Crimea.
- Ukraine sering melancarkan ratusan serangan dron pada waktu malam sebagai tindak balas terhadap serangan Moscow.
- Serangan balas Ukraine ke atas Crimea menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan bahan api sepanjang musim panas.
Gabenor Krasnodar, Venyamin Kondratyev berkata, jumlah korban di kampung Arkhipo-Osipovka meningkat kepada enam orang selepas kawasan itu diserang menggunakan dron.
Rakaman menunjukkan objek dipercayai dron melanggar kawasan pantai yang dipenuhi pengunjung di resort berkenaan, ketika pelancong berada di pesisir pantai dan dalam air.
Dalam perkembangan berasingan, empat orang dilaporkan terbunuh akibat serangan Ukraine ke atas semenanjung Crimea yang diduduki Rusia, menurut gabenor yang dilantik Moscow, Sergey Aksyonov.
Pantai Laut Hitam dan Crimea merupakan destinasi percutian musim panas yang popular dalam kalangan pelancong Rusia.
Ukraine sering melancarkan ratusan serangan dron ke wilayah Rusia pada waktu malam sebagai tindak balas terhadap serangan dron dan peluru berpandu Moscow ke atas bandar serta kawasan awam Ukraine.
Rusia melancarkan serangan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022 dan secara berterusan menyerang negara jirannya, termasuk menggunakan pangkalan di semenanjung Crimea.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Ukraine meningkatkan serangan balas terhadap Crimea yang dirampas Moscow pada 2014, menyebabkan gangguan bekalan elektrik dan bahan api sepanjang musim panas.
Sementara itu, serangan Rusia ke atas bandar Kryvyi Rig di timur Ukraine, yang merupakan bandar asal Presiden Volodymyr Zelensky, mengorbankan tiga orang, menurut pihak berkuasa tempatan.
Gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Oleksandr Ganzha berkata serangan itu menyebabkan kebakaran, selain merosakkan sebuah stesen minyak dan beberapa kenderaan.
Gambar yang dimuat naik beliau menunjukkan anggota bomba memadam kebakaran, selain bangkai sebuah kereta yang hangus di kawasan stesen minyak berkenaan.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini melaporkan peningkatan jumlah kematian orang awam sepanjang 2026 ketika konflik yang berlarutan lebih empat tahun itu masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian damai. – AFP