
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Belanjawan 2027 wajar memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti serta pembangunan kemahiran bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan isi rumah.
- Tingkatkan nilai tambah sektor sedia ada, khususnya pembuatan elektrik dan elektronik, untuk memperkukuh daya saing dan meningkatkan eksport serta produktiviti.
- Memastikan rakyat memperoleh pendapatan dan kemahiran mencukupi bagi meningkatkan produktiviti serta kesejahteraan isi rumah.
- Dasar fiskal dan perbelanjaan awam selaras RMK13 dan Kerangka Ekonomi MADANI bagi pertumbuhan mampan, inklusif dan peningkatan taraf hidup.
Pensyarah Kanan Ekonomi Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Nur Surayya Mohd Saudi berkata, pendekatan itu mampu meningkatkan nilai tambah dalam sektor-sektor ekonomi sedia ada, sekali gus memperkukuh daya saing negara.
“Contohnya, sektor pembuatan merupakan salah satu sektor utama, khususnya elektrik dan elektronik, yang banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Jadi, kita tambah baik sektor itu dan meningkatkan produktivitinya supaya eksport dapat dipertingkatkan dan kadar produktiviti terus meningkat.
“Usaha ini akan memberikan satu lonjakan yang baik. Ekonomi yang mampan hanya akan tercapai sekiranya kita mempunyai nilai tambah,” katanya kepada RTM.
Tambah beliau, langkah itu juga dapat memastikan rakyat memperoleh pendapatan dan kemahiran yang mencukupi, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan isi rumah.
Mengulas pendekatan kerajaan terhadap Belanjawan 2027, katanya tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi mampan, inklusif dan berteraskan kesejahteraan rakyat itu sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut beliau, fokus tersebut penting dalam memastikan hala tuju pembangunan negara terus berada pada landasan yang tepat, khususnya dalam mendepani persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
Kementerian Kewangan (MOF) sebelum ini turut memaklumkan, fokus tersebut adalah selaras dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI.
MOF juga akan memastikan setiap dasar fiskal dan perbelanjaan awam bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi, malah meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.