
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Malaysia dan Kemboja komited untuk terus memelihara keamanan serta memperkukuh perpaduan serantau dalam usaha merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi kemakmuran rakyat di rantau ini.
- Menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Kemboja Prak Sokhonn sempena lawatan rasmi dua hari dan Mesyuarat Ketiga JCBC Malaysia dan Kemboja.
- Pertemuan sebagai landasan penting menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027, mencerminkan keakraban dan perkongsian strategik.
- Membincangkan pemerkasaan kerjasama strategik dalam perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, AI, industri halal, keselamatan makanan, pembangunan modal insan dan pencegahan jenayah rentas sempadan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook berkata, sebagai negara anggota ASEAN, kedua-dua negara berkongsi tanggungjawab besar dalam memastikan kestabilan dan keharmonian Asia Tenggara terus terpelihara di tengah-tengah cabaran global yang dinamik.
“Malaysia dan Kemboja berkongsi tanggungjawab untuk memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan serantau dan merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2045 demi masa depan yang lebih makmur buat seluruh rakyat di rantau ini,” katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, Prak Sokhonn sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke Malaysia yang bermula hari ini.
Lawatan tersebut diadakan bersempena Mesyuarat Ketiga Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Malaysia–Kemboja yang dijadualkan berlangsung pada esok (Selasa).
Pertemuan berkenaan turut menjadi landasan penting menjelang sambutan ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Kemboja pada tahun 2027, yang mencerminkan keakraban hubungan persahabatan serta perkongsian strategik yang berkekalan.
Selain isu serantau, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkasa kerjasama strategik dalam pelbagai sektor pertumbuhan baharu dan tradisional.
“Pertemuan hari ini menjadi ruang untuk kedua-dua negara terus memperkasa kerjasama strategik merangkumi perdagangan, pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), industri halal, keselamatan makanan serta pembangunan modal insan.
“Selain itu, kami turut membincangkan pengukuhan kerjasama dalam membanteras jenayah rentas sempadan yang menjadi ancaman kepada keselamatan kedua-dua negara,” tambah beliau.
Perdana Menteri turut menzahirkan harapan agar hubungan dua hala itu terus diperkukuh, sekali gus membuka lebih banyak peluang kerjasama yang membawa manfaat bersama kepada rakyat Malaysia dan Kemboja.