
PUTRAJAYA, 3 Ogos – Kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di Asia Barat akan terus dipantau rapi dan diberi perhatian sewajarnya susulan ketegangan di rantau itu.
- KPT akan mendapatkan panduan daripada Kementerian Luar untuk memastikan keselamatan dan perjalanan pelajar Malaysia di Asia Barat.
- KPT bersedia mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan segera jika situasi di negara destinasi pembelajaran berubah.
- Program Karisma Antarabangsa melibatkan 456 pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke Mesir, Jordan dan Maghribi.
Menteri Pendidikan Tinggi, (KPT) Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pihak kementerian mengambil maklum mengenai amaran perjalanan yang dikeluarkan Amerika Syarikat (AS) kepada rakyatnya untuk meninggalkan rantau itu.
Sehubungan itu, KPT akan mengambil semua langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pelajar Malaysia susulan ketegangan geopolitik yang berlaku.
“Di peringkat KPT, sumber rujukan kita ialah Kementerian Luar. Jadi, apapun kita akan mendapatkan panduan daripada kementerian berkenaan untuk memastikan perjalanan dan keadaan pelajar pelajar Malaysia yang sedang belajar di sana.
“Dalam krisis yang berlaku di Iran, kita tahu bahawa dasar-dasar luar Trump sentiasa berubah. Jadi, kita akan ambil langkah berjaga-jaga sewajarnya untuk memastikan supaya keberadaan rakyat dan pelajar Malaysia sentiasa dikawal dan selamat,” katanya.
Datuk Seri Dr. Zambry memaklumkan, setakat ini KPT tidak menerima maklumat bahawa situasi di Mesir, Jordan dan Maghribi menjejaskan pelajar Malaysia.
Namun, pihaknya bersedia mengambil tindakan segera sekiranya terdapat sebarang perkembangan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Karisma Antarabangsa: Kenegaraan Malaysia MADANI 2026 di Putrajaya.
Program yang berlangsung di Putrajaya itu merupakan anjuran KPT dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), melibatkan penyertaan 456 pelajar Malaysia persendirian dan tajaan bawah pengurusan kementerian, jabatan, majlis dan yayasan negeri yang bakal melanjutkan pengajian ke luar negara, khususnya Mesir, Jordan dan Maghribi.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr. Zambry berkata, Malaysia kini menjadi destinasi pelajar dari kira-kira 180 negara, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap kualiti serta daya saing sistem pendidikan tinggi negara.
Jelasnya, pencapaian itu membuktikan institusi pengajian tinggi tempatan terus mendapat pengiktirafan global dan tidak hanya bergantung kepada kemasukan pelajar dari sesebuah negara tertentu.