
ALOR SETAR, 2 Ogos – Aplikasi MyJPJ akan ditambahbaik dengan pelbagai ciri dan teknologi terkini bagi meningkatkan tahap keselamatan dan mutu perkhidmatan kepada orang ramai.
- MyJPJ mencatat hampir 15 juta pengguna berdaftar.
- JPJ akan menjemput media sekitar September untuk mempersembahkan ciri dan teknologi baharu aplikasi.
- Pengguna berdepan masalah diminta salurkan aduan kepada pasukan teknikal JPJ untuk tindakan lanjut.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sehingga kini aplikasi MyJPJ telah mencatatkan hampir 15 juta pengguna berdaftar.
“Jadi apabila ada beberapa isu, itu normal. Dari semasa ke semasa kita memang membuat penambahbaikan aplikasi ini kerana ia telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai sumber aplikasi JPJ.
“Akan ada pelbagai lagi ciri berkaitan MyJPJ yang akan kita panggil untuk media review (nilai) selepas ini. Dalam masa terdekat..mungkin bulan September kita akan panggil semua media untuk kita tunjukkan ciri-ciri baru, teknologi terkini untuk app myJPJ yang tidak pernah kita tunjukkan sebelum ini, ” katanya.
Tambah beliau, pengguna yang berdepan sebarang masalah berkaitan aplikasi berkenaan boleh menyalurkan aduan atau laporan kepada pasukan teknikal JPJ untuk tindakan lanjut.
Datuk Aedy bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Alor Senjaya dan Program Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini.