Kempen Kibar Jalur Gemilang perkasa semangat patriotik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Ogos Semangat patriotik dalam kalangan rakyat terus diperkasa menerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang 2026 sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai lambang kecintaan, perpaduan dan kesetiaan kepada negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jalur Gemilang simbol maruah, kedaulatan dan identiti negara yang mengingatkan pengorbanan untuk keamanan dan kemakmuran.
  • Ketua perkhidmatan dan penjawat awam diseru menjadi teladan dengan mengibarkan integriti, amanah, perpaduan dan kecemerlangan perkhidmatan.
  • Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, penyerahan kit dan konvoi kementerian tunjuk komitmen Perkhidmatan Awam menyemarakkan sambutan kebangsaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Jalur Gemilang bukan sekadar bendera, sebaliknya simbol maruah, kedaulatan dan identiti negara yang perlu dihormati serta dihayati oleh setiap rakyat.

Menurut beliau, setiap kibaran Jalur Gemilang mengingatkan rakyat tentang nilai kemerdekaan yang perlu disyukuri dan dihayati.

“Apabila Jalur Gemilang berkibar megah, ia mengingatkan kita bahawa keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati hari ini bukan datang dengan mudah.

“Ia dibina atas keringat, pengorbanan, air mata dan darah pejuang anggota keselamatan, penjawat awam dan seluruh rakyat yang meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kibarkan Jalur Gemilang: Kesejahteraan Dinikmati di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau menyeru semua Ketua Setiausaha, Ketua Perkhidmatan dan Ketua Jabatan menjadi teladan dalam menyemarakkan semangat patriotik dengan memastikan Jalur Gemilang dikibarkan dengan megah di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Jangan hanya mengibarkan bendera, tetapi kibarkanlah integriti, kibarkanlah amanah, kibarkanlah perpaduan dan kibarkan kecemerlangan perkhidmatan.

“Sebagai penjawat awam, marilah kita bekerja dengan lebih pantas, lebih berintegriti dan lebih profesional serta lebih berjiwa rakyat. Jadikan kecintaan kepada negara sebagai sumber inspirasi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Tegas Tan Sri Shamsul Azri, menghormati Jalur Gemilang bukan sekadar mematuhi peraturan, malah mencerminkan penghormatan terhadap Perlembagaan Persekutuan, institusi Raja Berperlembagaan serta kedaulatan negara.

Dalam pada itu, beliau mengajak seluruh rakyat menjayakan aspirasi 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dengan menghiasi kediaman masing-masing sepanjang Bulan Kebangsaan sebagai lambang perpaduan serta kecintaan kepada negara.

“Sama-samalah kita mengangkat Jalur Gemilang sebagai simbol penyatuan bangsa, simbol yang memperkukuhkan semangat Malaysia MADANI, simbol yang mempertahankan kedaulatan negara dan simbol yang membina sebuah Malaysia yang lebih makmur, lebih berdaya saing dan lebih dihormati dan disegani di persada dunia,” katanya.

Pada majlis sama, Tan Sri Shamsul Azri menyampaikan kit Jalur Gemilang kepada Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-Ketua Perkhidmatan sebagai simbol komitmen Perkhidmatan Awam dalam menjayakan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang 2026.

Beliau turut melepaskan konvoi 43 kenderaan yang mewakili 43 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan sebagai simbol komitmen Perkhidmatan Awam dalam menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Majlis anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi itu merupakan antara pengisian utama HKHM 2026 bagi menyemarakkan semangat patriotik menerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.