
LABUAN, 1 Ogos – Penduduk tempatan di sini akan diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan jawatan di wilayah berkenaan, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus.
- Kekosongan jawatan di jabatan-jabatan Labuan, khususnya kumpulan sokongan, perlu diisi oleh masyarakat tempatan.
- Pengisian jawatan dijangka membantu menyelesaikan masalah perumahan, sosial dan keluarga.
- Program Kembara Kerjaya MADANI SPA Labuan 2026 memperluas akses peluang pekerjaan dan maklumat kerjaya sektor awam.
- Program menyediakan khidmat nasihat kerjaya, semakan kelayakan dan pendaftaran SPA9 untuk pencari kerja.
Jelasnya, pendekatan itu dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, sekali gus membantu mengurangkan beberapa isu utama.
“Kita juga mempunyai beberapa kekosongan di jabatan-jabatan di Pulau Labuan, khususnya dalam kumpulan sokongan, untuk membolehkan masyarakat tempatan sendiri mengisinya.
“Dengan adanya pengisian yang memberi keutamaan kepada orang tempatan, kita akan dapat menyelesaikan isu perumahan, sosial, keluarga dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Program Kembara Kerjaya MADANI SPA Labuan 2026 di Kompleks Ujana Kewangan di sini.
Program tersebut menjadi platform memperluas akses kepada peluang pekerjaan dan membantu pencari kerja mendapatkan maklumat tepat mengenai kerjaya dalam sektor awam.
“Pendekatan turun padang itu turut menyokong usaha melahirkan lebih ramai belia berdaya saing, berkemahiran dan bersedia menyertai pasaran pekerjaan,” katanya.
Antara pengisian program termasuklah khidmat nasihat kerjaya, semakan kelayakan dan pendaftaran SPA9.