
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Wakaf Wilayah Persekutuan memperkenalkan program Safar Tour bagi memberi peluang kepada pewakaf melihat sendiri perkembangan projek wakaf yang sedang dibangunkan.
- Program dilaksanakan secara berkala untuk meningkatkan keyakinan pewakaf dan bakal pewakaf terhadap pengurusan wakaf.
- Safar Tour menunjukkan pelaksanaan projek wakaf yang memberi manfaat kepada masyarakat, ummah dan penerima.
- 35 pewakaf melawat tiga projek utama; wakaf tunai RM461,000 diserahkan dan lebih RM29.4 juta dikumpul sejak Disember 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, program itu akan dilaksanakan secara berkala dan berterusan bagi meningkatkan keyakinan pewakaf serta bakal pewakaf terhadap pengurusan wakaf.
“Kita tidak mahu lagi berbicara tentang konsep dan teori. Apa yang kita mahu tunjukkan adalah pelaksanaan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat, ummah dan penerima.
“Pewakaf yang telah mewakafkan tidak perlu bimbang,” katanya selepas merasmikan Program Safar Tour Wakaf Wilayah Persekutuan di Batu Caves.
Program itu disertai 35 pewakaf individu dan wakil syarikat korporat yang dibawa melawat tiga projek wakaf utama di sekitar Kuala Lumpur.
Ia melibatkan Kompleks Kecemerlangan Pendidikan Islam MAIWP, Pusat Fisioterapi MAIWP di Masjid Abu Ubaidah Al-Jarrah dan pembangunan semula Masjid Al-Mubarakah, Taman Bukit Cheras.
Pada majlis sama, wakaf tunai berjumlah RM461,000 diserahkan oleh syarikat korporat dan individu.
Sejak Disember 2022, Wakaf Wilayah Persekutuan mengumpul lebih RM29.4 juta bagi 15 projek wakaf.
Manakala 34 projek lain masih memerlukan dana dianggarkan RM410 juta.