AIM terus diberi keutamaan, tingkat bantuan dalam Belanjawan

PM melawat salah satu gerai di Karnival Sahabat Usahawan MADANI Negeri Sembilan/Foto BERNAMA

PORT DICKSON, 31 Julai – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan terus diberi keutamaan dengan meningkatkan bantuan kepada agensi berkenaan di dalam Belanjawan akan datang.

RINGKASAN BERITA AI
  • AIM akan terus diberi keutamaan dengan peningkatan bantuan dalam Belanjawan akan datang.
  • Kerajaan komited menyokong AIM berdasarkan rekod membantu golongan berpendapatan rendah dan memperkasa ekonomi wanita.
  • Kadar bantuan Sumbangan Asas Rahmah akan ditingkatkan dalam Belanjawan jika keadaan negara mengizinkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia bagi memperkukuh agenda pembasmian kemiskinan dan memperkasa ekonomi rakyat terutama golongan wanita dalam meningkatkan taraf ekonomi keluarga

Menurutnya, kerajaan komited untuk meneruskan sokongan kepada AIM berdasarkan rekod prestasi agensi berkenaan yang disifatkan berjaya membantu rakyat yang kurang berkemampuan keluar dari kepompong.

“Selagi saya ada, insya-Allah… ada amanah memandu kerajaan ini, saya tidak akan lupa peranan AIM kerana dalam setiap Belanjawan, saya akan bagi perhatian.

“Saya akan tingkatkan kerjasama dan bantuan untuk AIM,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Sahabat Usahawan MADANI Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, sejarah pengurusan AIM yang baik telah membantu golongan berpendapatan rendah keluar daripada kemiskinan melalui peluang modal dan bantuan pengurusan.

“AIM ini memang sejarah yang dekat dengan saya semasa saya menjadi Menteri Kewangan awal-awal dan bila saya tengok, ada kemajuan serta mendapat sambutan daripada sahabat terutama wanita,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan kerajaan akan meningkatkan kadar bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam Belanjawan akan datang.

“Kalau semua keadaan baik, Belanjawan negara ini kita tambah lagi SARA untuk rakyat,” katanya.

Karnival Sahabat Usahawan MADANI Negeri Sembilan ini menghimpunkan lebih tiga ribu usahawan dan Sahabat AIM dari seluruh negeri berkenaan selain menjadi platform memperkukuh jaringan keusahawanan serta memperluaskan peluang pembangunan ekonomi komuniti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.