
BATU PAHAT, 31 Julai – Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan secara bersama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sempena pertemuan pimpinan kedua-dua negara menerusi ‘Annual Leader Retreat’ pada Disember ini.
- Pelan induk menjadi antara agenda utama dalam pertemuan dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-Singapura.
- Walaupun bersifat operasi, pertemuan antara kedua-dua pemimpin diyakini mampu melonjakkan JS-SEZ sebagai hab ekonomi serantau.
- Jawatankuasa Menteri-Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) akan dipengerusikan bersama pada November bagi memperkukuh kerjasama ekonomi dan pembangunan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pelancaran pelan induk berkenaan menjadi antara agenda utama yang akan diberi perhatian dalam pertemuan tersebut, selain memperkukuh kerjasama strategik Malaysia-Singapura.
Menurut beliau, walaupun dokumen pelan induk itu bersifat operasi, pertemuan antara kedua-dua pemimpin tertinggi negara diyakini mampu melonjakkan lagi kedudukan JS-SEZ sebagai hab ekonomi serantau.
“Itu akan diadakan di Malaysia. Malaysia akan jadi tuan rumah. Cuma ia biasanya akan diselaraskan oleh Pejabat Perdana Menteri kerana melibatkan kedua-dua negara. Hasratnya adalah supaya walaupun dokumen pelan induk itu bersifat operasi, tetapi melalui pertemuan antara kedua-dua pimpinan tertinggi negara, ia akan terus melonjakkan kedudukan JS-SEZ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Program SDG Bersasar Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 Wilayah Selatan di Dataran Penggaram, Batu Pahat, Johor.
Akmal Nasrullah turut memaklumkan ketidaktentuan geopolitik global ketika ini boleh menjadi kelebihan kepada Malaysia dalam memposisikan JS-SEZ sebagai destinasi pelaburan pilihan, bukan sahaja kepada pelabur domestik malah antarabangsa.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya bersama Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat akan mempengerusikan secara bersama Jawatankuasa Menteri-Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) pada November depan.
Mesyuarat berkenaan dijangka berlangsung di Singapura bagi membincangkan perkembangan serta langkah memperkukuh kerjasama ekonomi dan pembangunan antara Johor dan republik berkenaan.