Pemandu positif dadah mengaku tidak bersalah sebabkan kematian tiga beranak

Foto RTM

Kajang, 31 Julai – Seorang pemandu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas tiga pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga dalam kemalangan pada Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh Mohd. Norazlan Mohd. Tamyiz, 42, mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.
  • Didakwa memandu di bawah pengaruh methamphetamine hingga menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, isteri dan anak mereka.
  • Kejadian berlaku di Jalan Batu 17, Hulu Langat pada 28 Julai kira-kira 7.56 pagi; kereta dipandu melawan arus melanggar motosikal.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan syarat lapor diri sebulan sekali; sebutan semula kes 18 September.

Tertuduh, Mohd. Norazlan Mohd. Tamyiz, 42, yang memiliki dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Norazlan yang memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) didakwa memandu di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine hingga menyebabkan kematian Hafifi Rahmat, 34, isterinya, Nik Aishah Asilah Nik Mohd. Zamzuri, 32, dan anak mereka, Muhammad Rafie Hanzal Hafifi, 3.

Kejadian itu didakwa berlaku di Jalan Batu 17, Hulu Langat pada pukul 7.56 pagi, 28 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000 jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sabitan. Bagi pesalah berulang, tempoh hilang kelayakan ialah 20 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Norfarhanim Abdul Halim, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela, S. Priyalatha, memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan untuk menyara isteri, dua anak yang masih bersekolah serta ibu bapa yang uzur dan memerlukan ubat-ubatan.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd. Norazlan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 18 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen.

Sebelum ini, tiga beranak berkenaan maut selepas motosikal yang dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta yang dipandu secara melawan arus oleh tertuduh dalam kejadian pada pukul 7.56 pagi, 28 Julai lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.