
PULAU REDANG, 26 September – Tiga operator Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Terengganu yang sebelum ini digantung selama sebulan kini dibenarkan semula untuk meneruskan operasi jualan selepas tempoh penggantungan tamat.
- KPDN Terengganu akan terus melakukan naziran dan pemantauan secara berterusan terhadap operator PJRM.
- Tindakan lanjut akan diambil sekiranya masalah ketidakpatuhan sama berulang.
- Penggantungan tiga operator dibuat susulan pelanggaran syarat dan garis panduan pelaksanaan program.
- Ketidakpatuhan merugikan kepentingan pengguna, termasuk membuat tuntutan pembayaran subsidi palsu.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat, pihaknya akan terus melakukan naziran dan pemantauan secara berterusan.
“Operator pertama telahpun lepas daripada tempoh penggantungan. Bagaimanapun kita akan mengadakan naziran dan jika berlaku lagi masalah yang sama, kita akan terus mengambil tindakan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Pengedaran Barang Perlu dan Ihsan Food Bank di Dewan Press Sekolah Kebangsaan (SK)Pulau Redang, Kampung Baru, hari ini.
Terdahulu, pada 1 September lalu media melaporkan, tiga operator PJRM di negeri ini digantung daripada operasi selepas didapati bersalah melanggar syarat dan garis panduan pelaksanaan program.
Penggantungan tiga operator itu dilakukan berikutan ketidakpatuhan sehingga menjejaskan kepentingan pengguna terutama membabitkan mengemukakan tuntutan pembayaran subsidi palsu.