Tiga langkah perkukuh kefahaman sejarah, asas negara

Foto BERNAMA

AYER KEROH, 26 September – Tiga langkah dicadangkan bagi memperkukuh kefahaman rakyat terhadap sejarah dan asas negara, sekali gus mengukuhkan perpaduan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan pendidikan sejarah: membimbing pelajar meneliti sumber, membezakan fakta daripada maklumat palsu.
  • Mewajibkan mata pelajaran Sejarah dalam Bahasa Melayu bagi yang tanpa SPM, memastikan pengiktirafan dalam pengajian dan pekerjaan awam.
  • Kajian kerangka undang-undang untuk menangani hasutan kebencian dengan peruntukan jelas dan proses adil, tanpa menjejaskan perbahasan berasaskan fakta.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu merangkumi pengukuhan pendidikan sejarah, pembinaan kefahaman bersama mengenai asas negara serta kajian terhadap kerangka perundangan.

Menurut beliau, pendidikan sejarah perlu membimbing pelajar meneliti sumber dan membezakan fakta daripada maklumat yang tidak benar.

Pada masa sama, katanya, generasi muda khususnya perlu memahami sejarah pembentukan negara tanpa mengira aliran pendidikan.

“Kalau kita lihat bahawa mata pelajaran sejarah dan bahasa itu penting, maka sebagai satu keputusan dasar, mereka yang tanpa SPM, sama ada dari aliran vernakular atau aliran pendidikan Islam, mata pelajaran Sejarah dalam Bahasa Melayu perlu diwajibkan.

“Ia supaya pengiktirafan itu dilakukan bukan hanya dalam soal melanjutkan pelajaran, tetapi juga dalam alam pekerjaan, khususnya sektor awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Forum Musyawarah Nasional ‘Membongkar Polemik Tanah Melayu’ di Ayer Keroh, Melaka.

Selain pendidikan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata kajian terhadap kerangka undang-undang juga perlu dilaksanakan bagi menangani hasutan kebencian melalui peruntukan yang jelas dan proses yang adil.

Katanya, langkah itu perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan ruang untuk perbahasan berasaskan fakta, kajian akademik dan kritikan yang sah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.