Pelakon Indonesia didenda RM500, mengaku salah ganggu petugas KLIA

Foto RTM

SEPANG, 31 Julai – Pelakon dan model Indonesia, Samudera Hurley Taylor didenda keseluruhan RM500 oleh Mahkamah Majistret Sepang hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membabitkan tindakan mengeluarkan kata-kata menghina terhadap petugas syarikat penerbangan serta ingkar arahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Denda RM400 di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana gagal mematuhi arahan anggota polis bantuan, didakwa bertindak agresif dan mencetus kekecohan.
  • Denda RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil kerana menyebabkan gangguan awam dengan menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat.
  • Mengaku bersalah memasukkan bahan terlarang (metabolit THC) di bawah Seksyen 15(1)(a); diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin, menunggu laporan patologi.
  • Mahkamah perintahkan penyerahan pasport dan laporan diri bulanan di balai polis berhampiran alamat penjamin; sebutan semula kes pada 9 September.

Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman denda RM400 bagi pertuduhan pertama mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana gagal mematuhi arahan sah anggota polis bantuan selepas tertuduh didakwa bertindak agresif dan mencetuskan kekecohan di Pintu Pelepasan 4 KLIA pada 27 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki berusia 24 tahun itu didenda RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menyebabkan gangguan awam dengan menjerit serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadap petugas Batik Air dan anggota polis bantuan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Dalam prosiding berasingan, Taylor turut mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan bahan terlarang iaitu 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid ke dalam badannya mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin tempatan sementara menunggu laporan patologi.

Selain itu, mahkamah mengarahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta mewajibkannya melapor diri di balai polis berhampiran alamat penjamin sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 September depan.

Selesai prosiding, penjamin Taylor menjelaskan wang jaminan serta bayaran denda yang dikenakan terhadap tertuduh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.