
KUALA LUMPUR, 16 September – Langkah memastikan projek kerajaan dilaksana melalui mekanisme perolehan yang ditetapkan merupakan sebahagian reformasi pentadbiran bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta pengurusan wang awam.
- Proses tender diwajibkan; rundingan terus dikurangkan, projek mesti melalui Jawatankuasa Tender dan proses perolehan telus.
- Peraturan perolehan: kontrak melebihi RM500,000 dilaksanakan melalui tender, kelulusan mengikut Lembaga Perolehan atau pihak berkuasa nilai.
- Pelaksanaan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri setiap Selasa memperkukuh akauntabiliti pentadbiran melalui soal jawab langsung di Dewan Rakyat.
- Kerajaan tingkatkan kebajikan: peruntukan STR dan SARA kepada RM15 bilion, tumpuan juga pada penyelenggaraan kemudahan asas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi mengurangkan amalan rundingan terus yang berisiko mengakibatkan ketirisan.
“Aspek kewangan sangat penting. Dalam soal tender pula, dahulu banyak perkara dibuat melalui rundingan.
“Sekarang, tidak boleh lagi. Kalau mahu beri sesuatu projek, mesti melalui proses tender dan Jawatankuasa Tender. Keseluruhan proses perolehan mesti telus.
“Ini semua adalah sebahagian daripada reformasi yang kita lakukan. Adakah saya sudah berpuas hati sepenuhnya? Belum, tetapi proses itu sedang dan akan terus kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program audio siar “SembangOhhYeahh” bertajuk “Episod Khas: Siapa Sebenarnya Anwar Ibrahim, Di Sebalik Gelaran PMX?” yang disiarkan di YouTube.
Menurut tatacara perolehan kerajaan semasa, perolehan yang melebihi RM500,000 setahun atau bagi sesuatu kontrak dilaksanakan secara tender, dengan kelulusan tertakluk kepada Lembaga Perolehan atau pihak berkuasa melulus berdasarkan had nilai ditetapkan.
Selain penambahbaikan proses perolehan, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan turut memperkukuh akauntabiliti pentadbiran menerusi pelaksanaan Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Sesi yang diadakan setiap Selasa itu memberi ruang kepada Ahli Parlimen mengemukakan pertanyaan untuk dijawab secara langsung oleh Perdana Menteri.
Menurut Datuk Seri Anwar lagi, reformasi pentadbiran turut dilaksana seiring usaha memperkukuh kebajikan rakyat dan menambah baik kemudahan asas.
Dalam aspek kebajikan, beliau berkata peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan hingga RM15 bilion setahun.
Kerajaan turut memberi tumpuan kepada penyelenggaraan kemudahan asas termasuk pembaikan tandas sekolah serta kuarters polis dan tentera yang usang.