
SEPANG, 16 September – Skuad eFootball Malaysia menyasarkan pencapaian lebih tinggi di temasya Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun, walaupun sasaran pingat yang diletakkan adalah gangsa.
- Sasaran ditetapkan sendiri oleh pemain berdasarkan potensi mereka, kata pengurus.
- Pengurus enggan memberi tekanan berlebihan walaupun pemain yakin mampu capai sasaran lebih tinggi.
- Latihan intensif seminggu di Tokyo diperlukan untuk penyesuaian teknikal termasuk mod permainan dan pemilihan pemain.
Pengurus Pasukan E-sukan Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Amir Syafiq Abd Rashid berkata sasaran itu ditetapkan sendiri pemain e-Sukan eFootball, Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar dan Muhammad Hariz Hazmi Hakimin berdasarkan potensi yang mampu mereka tonjolkan pada kejohanan kali ini.
“eFootball termasuk dalam sasaran kita untuk meraih pingat, namun, kita menetapkan sasaran yang lebih selamat, iaitu pingat gangsa.
“Kalau ditanya kepada pemain, sasaran mereka sebenarnya lebih tinggi kerana yakin mampu mencapai sasaran tersebut, tetapi kita tidak mahu memberikan tekanan yang terlalu tinggi kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum pelepasan skuad eFootball ke Tokyo, Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Tambah beliau, skuad eFootball hari ini akan meneruskan latihan di Tokyo, Jepun sebagai persediaan akhir sebelum beraksi pada Sukan Asia 2026.
“Persediaan sebenarnya sangat intensif kerana kita turut menerima beberapa perubahan teknikal daripada penganjur. Jadi, kita perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut dengan cepat, termasuk daripada segi mod permainan, pemilihan pemain dan sebagainya.
“Sebab itu, kita bawa mereka ke Tokyo untuk menjalani latihan intensif selama seminggu sebagai persediaan dan ‘final adaptation’ sebelum beraksi di Nagoya nanti,” katanya.