
SRI DAMANSARA, 16 September – Program teknologi kecerdasan buatan (AI) akan terus dipergiat di seluruh negara bagi memastikan golongan sasaran terima manfaat, pendedahan dan akses yang sewajarnya.
- Masyarakat perlu memahami penggunaan AI untuk memperkasa kehidupan dan perniagaan.
- Kerajaan menyokong program AI memberi manfaat kepada 100,000 belia dan agensi seperti TalentCorp serta TikTok Shop menyediakan latihan.
- Jelajah AI MyMahir mencatat penyertaan ramai menunjukkan peningkatan kesedaran; program perlu diteruskan untuk bantu golongan memerlukan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, usaha itu penting kerana masyarakat perlu memahami cara menggunakan teknologi AI yang boleh membantu memperkasa kehidupan dan perniagaan.
Malah, beliau yang juga Ahli Parlimen Damansara turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan program AI yang akan memberi manfaat kepada 100,000 belia.
“Di kawasan Parlimen Damansara, kita ada program iatu agensi seperti TalentCorp hadir untuk memberi lebih pendedahan berkaitan AI demi memperkasa lagi kehidupan dan perniagaan mereka.
“Kita lihat ramai peniaga kecil perlukan bantuan. Jadi kita minta agensi seperti TikTok Shop untuk memberi latihan cara menggunakan platform sedia ada kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada RTM selepas Program Sambutan Hari Malaysia Taman Mahogani di sini, hari ini.
Malah, Gobind Singh turut kagum dengan sambutan program Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2 yang telah menghimpunkan lebih 800 penyertaan, baru-baru ini.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan bahawa rakyat mulai sedar kepentingan penggunaan teknologi AI yang boleh mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik.
“Saya harap program sebegini dapat diteruskan bukan sahaja di kawasan Parlimen Damansara tetapi di seluruh negara.
“Kita kena fokus kepada kumpulan yang memang memerlukan bantuan dan kita kena pastikan bantuan itu dapat kita sampaikan kepada mereka,” katanya lagi.