
GUA MUSANG, 31 Julai – Tiga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan treler tangki yang membawa diesel di Kilometer 25, Jalan Gua Musang – Kuala Krai, di sini hari ini.
- Pemandu Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21, bersama penumpang Maria dan anak lelakinya, 11, dilaporkan terkorban dalam nahas.
- Nur Balqis Abli, 21, mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Hospital Gua Musang.
- Siasatan awal polis mendapati kereta dipercayai hilang kawalan, terbabas ke lorong bertentangan dan bertembung treler membawa diesel.
- Ibu mangsa, Faridah Bedollah, berkata perbualan tentang kematian tiga hari sebelum nahas menjadi kenyataan; jenazah dijangka dikebumikan selepas bedah siasat.
Kejadian pada pukul tujuh pagi itu mengorbankan Muhamad Syazwan Hakimi Ibrahim, 21 tahun yang merupakan pemandu kereta Perodua Myvi bersama seorang wanita dikenali sebagai Maria yang berada di tempat duduk penumpang hadapan serta anak lelakinya berusia 11 tahun.
Seorang lagi penumpang, Nur Balqis Abli, 21 tahun yang juga anak Maria mengalami kecederaan parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian Muhamad Syazwan yang juga rakan Nur Balqis memandu kereta Perodua Myvi dalam perjalanan dari Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler yang membawa muatan diesel menghala ke Kuala Krai,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Muhamad Syazwan Hakimi, Faridah Bedollah, 59, berkata, dia tidak menyangka perbualan mengenai kematian bersama anak lelakinya tiga hari sebelum nahas menjadi kenyataan.
Katanya, Muhamad Syazwan Hakimi memaklumkan kepadanya pada petang semalam bahawa dia ingin ke Cameron Highlands selepas mendapat cuti daripada majikannya untuk menemani ibu rakan sekampungnya sebagai pemandu.
Jenazah Muhamad Syazwan Hakimi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tegayong Barat, Melor, Kota Bharu selepas proses bedah siasat.