Penunggang motosikal maut selepas terbabas di LPT1 Maran

Foto RTM

MARAN, 31 Julai – Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1), Maran, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis terima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 6.30 pagi.
  • Mangsa dipercayai dalam perjalanan ke perhimpunan RXZ Members 8.0 di Terengganu.
  • Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh ke lorong kanan jalan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; polis masih menyiasat, tiada saksi; hubungi Inspektor Nurhafizul 010-5752075.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 6.30 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang bergerak dari arah Kuala Lumpur dipercayai dalam perjalanan menuju ke perhimpunan RXZ Members 8.0 di Terengganu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikal terbabas dan mangsa terjatuh ke lorong kanan jalan,” katanya.

Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Setakat ini, tiada saksi tampil bagi membantu siasatan.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran, Inspektor Nurhafizul Abd Halim di talian 010-5752075 atau hadir ke balai polis berdekatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.