MCMC tumpas sindiket guna Fake BTS hantar SMS penipuan

Rakaman percakapan suspek di Balai Polis Sentral, Johor Bahru/ MCMC

KUALA LUMPUR, 29 Julai- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya menumpaskan sindiket penipuan digital menggunakan peralatan Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) bagi memperdaya pengguna telefon bimbit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket menggunakan Fake BTS memancarkan isyarat RF untuk menghantar SMS penipuan berisi pautan menipu.
  • Operasi rampas empat modul GSM, rakam percakapan empat individu dan lima operasi khas setakat pertengahan 2026.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 239 dan Peraturan 16; denda dan penjara berat, orang ramai dinasihat jangan tekan pautan mencurigakan.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan taktik berkenaan terbongkar menerusi penahanan seorang lelaki berusia 23 tahun di Johor Bahru, Johor pada Jumaat lalu.

“Suspek telah dikesan memandu sebuah kenderaan yang dilengkapi kelengkapan Fake BTS memancarkan isyarat Radio Frekuensi (RF) yang menyamar sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menghantar SMS penipuan yang mengandungi pautan sesawang bagi memperdaya mangsa,” menurut kenyataan.

Menurut MCMC, teknologi berkenaan membolehkan mesej penipuan kelihatan seperti dihantar daripada pihak sebenar, sekali gus meningkatkan risiko pengguna terpedaya dengan pautan sesawang yang disertakan.

Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menyasarkan kawasan tumpuan awam terutama ketika waktu puncak bagi meningkatkan jumlah penghantaran SMS.

“Fake BTS ialah peralatan komunikasi tidak standard yang meniru isyarat rangkaian mudah alih bagi membolehkan penghantaran SMS ke telefon pengguna tanpa melalui rangkaian rasmi penyedia perkhidmatan telekomunikasi,” menurut kenyataan itu.

Peranti dan barangan yang disita/ MCMC

Kes disiasat mengikut Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 239, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, manakala kesalahan di bawah Peraturan 16 memperuntukkan denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

MCMC berkata pihaknya akan terus memperhebat operasi bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras penyalahgunaan spektrum frekuensi radio dan infrastruktur telekomunikasi untuk tujuan penipuan serta jenayah.

“Setakat pertengahan 2026, MCMC telah melaksanakan lima (5) operasi khas membanteras kegiatan Fake BTS melibatkan dua (2) operasi di Johor dan tiga (3) operasi di Genting Highlands, selain merampas sebanyak empat (4) unit modul GSM yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut serta merakam empat (4) percakapan individu bagi membantu siasatan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak menekan sebarang pautan SMS yang mencurigakan, tidak berkongsi maklumat perbankan atau maklumat peribadi tanpa membuat semakan melalui saluran rasmi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.