Polis Kedah lupus 1,408 mesin Bitcoin bernilai RM1.6 juta

Datuk Adzli Abu Shah (memandu jentera berat) pada majlis pelupusan mesin bitcoin di ruang parkir Bahagian Pencegahan Jenayah, Komuniti dan Keselamatan, IPD Kota Setar pada Rabu/ RTM

ALOR SETAR, 29 Julai- Polis Kedah melupuskan sebanyak 1,408 unit mesin Bitcoin bernilai RM1.6 juta yang digunakan untuk kegiatan perlombongan mata wang kripto selepas kesemua barang rampasan itu selesai melalui proses perundangan dan mendapat perintah mahkamah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kegiatan perlombongan menggunakan sambungan elektrik secara tidak sah untuk mengelak pembayaran bil elektrik.
  • Pelupusan mesin dilaksanakan selepas 34 kertas siasatan selesai dan mendapat perintah mahkamah, dijalankan secara telus dan berintegriti.
  • Polis akan memperkukuh kerjasama dengan TNB, Suruhanjaya Tenaga dan agensi berkaitan bagi membanteras perlombongan mata wang kripto secara haram.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata hasil siasatan mendapati kegiatan berkenaan dijalankan dengan membuat penyambungan bekalan elektrik secara tidak sah bagi mengelakkan pembayaran bil elektrik.

Beliau berkata pelupusan itu melibatkan 34 kertas siasatan kes sejak 2021 yang telah selesai melalui proses perundangan.

Katanya, modus operandi kegiatan berkenaan masih sama iaitu menggunakan mesin perlombongan Bitcoin dalam jumlah banyak yang beroperasi tanpa henti selain memerlukan sistem penyejukan bagi mengawal suhu mesin.

“Mesin ini, katakanlah satu premis tidak sampai 80 hingga 100 unit, ia akan beroperasi 24 jam tanpa henti. Ia perlu ada penghawa dingin untuk menjaga suhu kerana jika terlalu panas boleh terbakar.

“Kos elektrik juga sangat tinggi, jadi untuk menurunkan kos operasi, mereka membuat pemasangan curang yang tidak diluluskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan tidak membayar tarif elektrik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Bahagian Pencegahan Jenayah, Komuniti dan Keselamatan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan rampasan itu, sebanyak 683 unit membabitkan rampasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, 324 unit IPD Kota Setar, 279 unit IPD Kulim, 77 unit IPD Pendang dan 45 unit IPD Yan.

Datuk Adzli berkata pelupusan itu dilaksanakan bagi mematuhi perintah mahkamah selain memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus, berintegriti dan mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata polis akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan TNB, Suruhanjaya Tenaga (ST) dan agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan perlombongan mata wang kripto secara haram.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.