
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Seramai 949 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini hasil pelaksanaan Operasi Mabuk yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di seluruh negara.
- Operasi Mabuk dijalankan 1,634 kali sehingga Jun, meningkat 136.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
- Tindakan perundangan meningkat: 1,040 KST dibuka, 589 pertuduhan dan 414 kes dihukum berbanding tahun lalu.
- Operasi akan diteruskan secara berterusan dan tindakan akan diambil terhadap pesalah pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, tangkapan itu hasil 1,634 operasi yang dijalankan sehingga Jun tahun ini, meningkat 136.1 peratus berbanding 692 operasi bagi tempoh sama tahun lalu.
“Kuala Lumpur merekodkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 268 kes, diikuti Johor (203 kes), Selangor (182 kes), Sabah (95 kes) dan Sarawak (62 kes).
Daripada keseluruhan tangkapan itu, seramai 895 individu atau 94.3 peratus adalah lelaki, manakala 54 lagi atau 5.7 peratus ialah wanita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, dari segi umur, pemandu berusia 31 tahun ke atas merangkumi hampir tiga perempat daripada keseluruhan tangkapan, dengan golongan berusia 41 tahun ke atas merekodkan jumlah tertinggi iaitu 364 orang.
Dalam perkembangan sama, JSPT turut merekodkan peningkatan tindakan perundangan bagi kesalahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, sebanyak 1,040 Kertas Siasatan Trafik (KST) dibuka berbanding 870 kes pada tempoh sama tahun 2025.
Sebanyak 589 kes dituduh di mahkamah berbanding 486 kes pada 2025, manakala 414 kes telah dijatuhi hukuman berbanding 334 kes tahun lalu.
JSPT memaklumkan operasi berkenaan akan diteruskan secara berterusan dan tindakan akan diambil terhadap individu yang melanggar undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol.