
SELAYANG, 29 Julai – Sebanyak 34 kenderaan termasuk motosikal roda tiga yang digunakan warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op PEWA) yang dijalankan bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS), hari ini.
- Kesalahan dikesan termasuk memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada perlindungan insurans, penyalahgunaan LKM dan kesalahan teknikal lain.
- Semua kenderaan disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan disimpan sehingga selesai proses pendakwaan; tiada tawaran kompaun.
- Tiada kelonggaran diberikan; pemilik atau majikan yang membenarkan warga asing memandu tanpa dokumen sah akan dikenakan tindakan tegas, siasatan sindiket masih dijalankan.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, antara kesalahan dikesan termasuk memandu tanpa lesen, tiada lesen vokasional, tiada perlindungan insurans, penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta kesalahan teknikal lain.
“Sebanyak 126 kenderaan diperiksa membabitkan 11 motosikal roda tiga, 12 motosikal, enam kenderaan persendirian dan motolori.
“Semua kenderaan disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sitaan akan dibuat sehingga selesai proses pendakwaan di mahkamah. Tiada tawaran kompaun diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan di sini, hari ini.
Datuk Ahmad Kamarunzaman menegaskan, tiada kelonggaran atau layanan istimewa diberikan terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang jalan raya, termasuk pemilik kenderaan yang bersubahat dengan warga asing.
Beliau sebelum ini mendedahkan terdapat pemilik kenderaan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing dengan kadar serendah RM100, bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua pihak.
Mengulas kemungkinan wujud sindiket penyewaan kenderaan kepada warga asing, beliau berkata setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan perkara itu, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
Tambahnya, mana-mana pemilik kenderaan, majikan atau pihak yang membenarkan warga asing memandu tanpa dokumen sah akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Operasi bersepadu yang bermula pada 6.30 pagi dan tamat 2.30 petang di sekitar Selayang itu melibatkan 55 pegawai dan anggota JPJ serta 25 pegawai MPS.