
JOHOR BAHRU, 25 Julai — Polis Johor menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang disyaki terbabit dalam penyebaran hantaran di media sosial mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam.
- Suspek ditahan di Iskandar Puteri sekitar pukul 1 pagi susulan siasatan terhadap hantaran tular di Facebook.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
- Suspek direman empat hari untuk membantu siasatan.
- Dua telefon bimbit dirampas; polis mengingatkan awam elak isu 3R yang boleh menjejaskan keharmonian.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek ditahan di sekitar Iskandar Puteri pada pukul 1 pagi tadi hasil siasatan susulan laporan polis berhubung satu hantaran tular di Facebook.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan termasuk dua telefon bimbit turut dirampas.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.