
PETALING JAYA, 25 Julai – Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam insiden kejar-mengejar antara polis dan sebuah kenderaan di Persiaran Dagang, Sri Damansara, Petaling Jaya hingga ke Jalan Sungai Pusu, Gombak, malam tadi.
- Polis terima laporan kenderaan cuba melarikan diri kira-kira pukul 11.57 malam.
- Kenderaan dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum dikesan oleh polis.
- Suspek mengundur, melanggar kereta peronda dan dua kenderaan awam sebelum polis menahan mereka untuk siasatan.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan; polis nasihatkan orang ramai elak spekulasi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.57 malam selepas pihaknya menerima laporan mengenai sebuah kenderaan yang cuba melarikan diri.
Menurutnya, kenderaan berkenaan dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan sebelum berjaya dikesan di kawasan Jalan Sungai Pusu, Gombak.
“Ketika cubaan tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif dengan mengundur kenderaan dan melanggar kereta peronda polis sebelum melarikan diri semula.
“Suspek turut melanggar dua kenderaan awam yang diparkir di tepi jalan sebelum polis berjaya menahan kedua-dua individu terbabit untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Hasil semakan rekod mendapati suspek pertama mempunyai 23 rekod berkaitan dadah, empat rekod jenayah serta satu rekod dikehendaki.
Suspek kedua pula mempunyai lapan rekod dadah, 10 rekod jenayah dan enam rekod lain-lain kesalahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan.
Saksi yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.