Lima warga Myanmar ditahan masuk melalui pangkalan haram

Lima warga Myanmar ditahan PGA kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah/Foto PGA Briged Tenggara

PASIR MAS, 25 Julai — Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan lima warga Myanmar, termasuk seorang wanita, yang disyaki memasuki negara ini melalui pangkalan haram di Jeram Perdah, awal pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • PATI berusia 18 hingga 25 tahun ditahan kira-kira pukul 2 pagi semasa Op Taring Wawasan Kelantan.
  • Anggota menemui kenderaan berhenti mencurigakan, empat lelaki dan seorang wanita di tempat duduk belakang tanpa dokumen pengenalan sah.
  • Mereka mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram sekitar Jeram Perdah untuk mencari pekerjaan.
  • Semua ditahan dibawa ke IPD Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara 18 hingga 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 pagi dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Banggol Kong.

Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan selepas anggota PGA menemukan sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan dengan enjin masih hidup.

“Pemeriksaan mendapati terdapat empat lelaki dan seorang wanita warga Myanmar berada di tempat duduk belakang kenderaan terbabit. Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Radzi berkata, hasil soal siasat awal mendapati kesemua PATI mengaku memasuki Malaysia dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Jeram Perdah.

“Mereka juga mengaku kali pertama memasuki Malaysia dengan tujuan mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.