
KUALA LUMPUR, 24 Julai – Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan Malaysia tarif 10 peratus bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974 berkuat kuasa hari ini, susulan siasatan menyeluruh berhubung amalan buruh paksa melibatkan puluhan ekonomi dagangan.
- USTR menjalankan tindakan menyeluruh melibatkan 60 ekonomi di seluruh dunia berhubung kebimbangan buruh paksa.
- USTR mengambil kira komitmen Malaysia menguatkuasakan undang-undang larang import barangan hasil buruh paksa sebagai asas penetapan kadar.
- Siasatan berasingan bawah Seksyen 301 berkaitan lebihan kapasiti terhadap 16 ekonomi, termasuk Malaysia, masih diteruskan.
- MITI akan terus berunding dan berinteraksi dengan pihak Amerika Syarikat serta memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai perkembangan.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi kenyataan memaklumkan, Malaysia merupakan antara 17 ekonomi yang dikenakan tarif lebih rendah iaitu pada kadar 10 peratus, manakala ekonomi lain yang terlibat akan dikenakan tarif sebanyak 12.5 peratus.
“Langkah itu merupakan sebahagian daripada tindakan menyeluruh Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) yang melibatkan 60 ekonomi di seluruh dunia.
“USTR mengambil kira komitmen Malaysia dalam melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang import barangan yang dihasilkan melalui buruh paksa sebagai asas penetapan kadar tarif tersebut,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, MITI memaklumkan siasatan berasingan bawah Seksyen 301 berkaitan lebihan kapasiti melibatkan 16 ekonomi, termasuk Malaysia, masih diteruskan.
Semua pihak berkepentingan akan dimaklumkan sebaik sahaja USTR menetapkan kadar tarif bagi siasatan tersebut.
“Sementara itu, MITI akan terus berunding dan berinteraksi dengan pihak Amerika Syarikat berhubung perkara berkenaan,” tambah kenyataan itu.
Hari ini, AS mengumumkan tarif baharu ke atas 60 rakan dagang susulan kebimbangan berkaitan buruh paksa, bagi menggantikan tarif global yang bakal tamat tempoh dan diperkenalkan Presiden Donald Trump awal tahun ini.
Tarif yang berkuat kuasa hari ini itu melibatkan kadar antara 10 hingga 12.5 peratus, termasuk terhadap ekonomi utama seperti China, India dan Kesatuan Eropah (EU).