
ULASAN BERITA
- Pelaburan eFishery dipercayai hasil penipuan pengurusan, memerlukan tindakan undang-undang dan usaha mendapatkan kembali wang awam.
- Siasatan menyeluruh dan audit perlu untuk tentukan sama ada wujud rasuah, kecuaian atau kelemahan tadbir urus.
- KWAP masih mencatat keuntungan besar dan tanggungjawab membayar pencen terpelihara, namun ketelusan dan pemulihan wang mesti diteruskan.
Isu pelaburan KWAP atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) dalam syarikat eFishery bukan sekadar cerita tentang kerugian RM163.4 juta.
Ia membabitkan wang yang diuruskan bagi menjamin pembayaran pencen penjawat awam. Maka, rakyat berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
Berdasarkan penjelasan Kementerian Kewangan, KWAP dipercayai menjadi mangsa penipuan pihak pengurusan eFishery dari Indonesia.
Mereka didakwa memanipulasi penyata kewangan syarikat bagi menarik pelaburan. Ini bermakna keputusan pelaburan dibuat berdasarkan maklumat yang didakwa tidak benar.
Ia merupakan kes penipuan korporat terancang, menyebabkan entiti itu dan pelabur institusi global lain, diperdaya.
Namun begitu, menjadi mangsa penipuan tidak bermakna semua pihak terlepas daripada kesalahan.
Rakyat wajar bertanya sama ada proses semakan, penilaian risiko dan pemantauan pelaburan telah dilaksanakan dengan sebaiknya atau tidak.
Jika ada kelemahan, ia mesti dikenal pasti dan diperbaiki agar kesilapan sama tidak berulang. Lebih penting sekarang ialah usaha mendapatkan semula wang tersebut.
KWAP ada memaklumkan, usaha mendapatkan kembali pelaburan tersebut sedang dijalankan melalui semua saluran tersedia.
Jika dakwaan dibuktikan di mahkamah, ia membuka ruang kepada pelabur seperti KWAP menuntut ganti rugi.
Kes ini walaupun tidak sama dengan 1MDB, kedua-duanya melibatkan dana berkaitan kerajaan. Jadi, adakah ia boleh diselesaikan sama seperti kes 1MDB?
Jawapannya ialah ya, dari segi prinsip perundangan, tetapi mekanismenya tidak semestinya sama.
Dalam isu 1MDB, Malaysia berjaya memperoleh semula sebahagian aset melalui beberapa saluran. Antaranya, tindakan sivil bagi mengesan dan mendapatkan semula aset.
Penyitaan aset yang diperoleh daripada hasil jenayah. Penyelesaian dengan institusi kewangan dan pihak ketiga serta, kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan antara negara.
Pendekatan yang hampir sama boleh dipertimbangkan dalam isu eFishery sekiranya terdapat bukti bahawa dana pelaburan diperoleh melalui penipuan atau disalahgunakan.
Namun, tidak seperti 1MDB yang melibatkan dana milik kerajaan Malaysia secara langsung dan rangkaian transaksi antarabangsa yang luas.
Kes eFishery melibatkan pelaburan minoriti dalam sebuah syarikat asing.
Lantaran itu, hak KWAP banyak bergantung pada dokumen pelaburan, undang-undang Indonesia, serta proses insolvensi atau litigasi yang sedang berlangsung.
Sekiranya bukti penipuan mencukupi, beberapa langkah yang lazim digunakan. Antaranya, tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang didakwa membuat representasi palsu.
Permohonan pembekuan aset juga dibuat bagi mengelakkan aset dipindahkan sementara prosiding berjalan.
Selain kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia, termasuk pendakwa raya dan pengawal selia kewangan bagi mengesan aset berkaitan.
Di pihak Malaysia, SPRM telah membuka siasatan berhubung pelaburan tersebut, dan terdapat gesaan supaya PAC meneliti proses kelulusan pelaburan.
Siasatan ini penting untuk menentukan sama ada wujud unsur rasuah, salah guna kuasa, kecuaian atau kegagalan tadbir urus dalam proses membuat keputusan pelaburan.
Kes ini memberi satu pengajaran penting.
Apabila wang awam dilaburkan, ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan risiko mestilah berada pada tahap tertinggi.
Rakyat bukan sekadar mahu mengetahui siapa yang bersalah tetapi juga mahu melihat bagaimana kerugian dapat dipulihkan dan bagaimana sistem diperkukuh supaya perkara sama tidak berulang.
Satu hal yang kita tidak perlu bimbang ialah, biarpun KWAP merekodkan kerugian RM160 juta daripada pelaburannya dalam eFishery.
Dana itu masih mencatatkan keuntungan bersih yang memberangsangkan, iaitu RM12.9 bilion. Ini bersamaan pertumbuhan dana 9.3 peratus.
Sehubungan itu, semua pihak mengkritik diminta supaya lebih berhati-hati dan melihat prestasi pelaburan agensi kerajaan itu secara menyeluruh serta kaedah pelaksanaannya.
Dana itu terus mencatatkan keuntungan dan pertumbuhan tahunan melebihi 8.5 peratus.
Di sebalik polemik yang belaku, kes ini tidak memberi kesan besar kepada kewangan KWAP atau kemampuannya untuk terus membantu kerajaan menanggung kos pencen.
Tanggungjawab pemerintah untuk membayar pencen penjawat awam tetap tidak berubah.
Namun jangan salah faham, RM163.4 juta tetap wang awam. Kecil berbanding keseluruhan dana, bukan bermakna ia boleh dilupakan. Setiap sen yang boleh diperoleh, mesti dikejar.
Hasil semakan sudah pun dibentang kepada lembaga KWAP dan tindakan susulan mesti diambil mengikut rangka akauntabiliti. Jika ada kecuaian, pihak bertanggungjawab mesti diambil tindakan.
Seperti ditegaskan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul, kita tidak akan sembunyikan kegagalan.
Tetapi jangan cuba menipu rakyat kononnya KWAP dah hampir gulung tikar dan pencen penjawat awam tak dapat dibayar. Itu bukan fakta, itu auta.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Hafizul Baharuddin