Sel stem, benarkah mampu menjadi rawatan alternatif penyakit?

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi sel stem dan perubatan regeneratif berpotensi besar, tetapi perlu bezakan antara potensi sains dan rawatan yang terbukti secara klinikal.
  • Hanya beberapa terapi berasaskan sel kini digunakan secara klinikal seperti pemindahan sel stem hematopoietik; banyak rawatan lain masih dalam kajian.
  • Keselamatan dan kualiti kritikal; produk mesti melalui kajian praklinikal dan klinikal, kawalan kualiti serta kelulusan pihak berkuasa sebelum digunakan.

Sel stem, kejuruteraan tisu dan Apabila kita mendengar istilah sel stem, kejuruteraan tisu atau perubatan regeneratif, ramai mungkin membayangkan satu teknologi yang mampu “menghidupkan semula” organ yang rosak atau menyembuhkan pelbagai penyakit.

Malah, terdapat semakin banyak iklan dan promosi yang menggambarkan terapi sel stem sebagai penyelesaian kepada hampir semua masalah kesihatan.

Tetapi, persoalan yang lebih penting ialah sejauh manakah perkara ini benar dari sudut sains dan perubatan? Adakah sel stem dan produk perubatan regeneratif benar-benar boleh menjadi alternatif rawatan penyakit dan membantu meningkatkan kesihatan serta kesejahteraan manusia?

Jawapannya ialah ya, teknologi ini mempunyai potensi yang sangat besar, tetapi kita perlu membezakan antara potensi, bukti saintifik dan rawatan yang telah terbukti secara klinikal.

Daripada Merawat Simptom Kepada Membaiki Kerosakan

Perubatan konvensional lazimnya bertujuan mengawal penyakit, mengurangkan simptom atau menggantikan fungsi yang hilang. Perubatan regeneratif pula adalah untuk memulihkan, menggantikan atau menjana semula sel, tisu atau fungsi organ yang mengalami kerosakan akibat penyakit, kecederaan atau proses penuaan.

Di sinilah sel stem memainkan peranan penting kerana keupayaannya memperbaharui diri serta menghasilkan sel yang lebih khusus. Dalam konteks perubatan, sel stem serta faktor rembesan sel berpotensi digunakan untuk menggantikan atau membantu membaiki sel dan tisu yang rosak.

Namun, sel stem bukanlah satu jenis rawatan yang sesuai untuk semua penyakit. Adakah semua terapi sel stem sudah terbukti? TIDAK. Ini merupakan perkara paling penting yang perlu difahami oleh masyarakat.

Pada masa ini, terdapat terapi berasaskan sel stem yang telah digunakan secara klinikal untuk keadaan tertentu, khususnya penyakit yang melibatkan sistem pembentukan sel darah iaitu pemindahan sel stem hematopoietik (pemindahan sumsum tulang).

Rawatan ini merawat penyakit seperti leukemia, limfoma, talasemia teruk, dan anemia dengan menggantikan sel darah yang rosak dengan sel sihat.

Pada masa yang sama, pelbagai terapi sel sedang dikaji melalui ujian praklinikal dan klinikal untuk penyakit lain seperti diabetes, penyakit Parkinson, penyakit sendi osteoarthritis, penyakit mata dan sebagainya.

Sebahagian daripada teknologi ini mungkin menjadi rawatan masa hadapan sekiranya terbukti berkesan dan selamat untuk kegunaan rutin.

Rawatan baharu perlu melalui proses penyelidikan, ujian praklinikal, kajian klinikal, penilaian keselamatan dan keberkesanan serta mendapat kelulusan pihak berkuasa NPRA sebelum boleh digunakan secara meluas.

Bagaimana pula dengan kejuruteraan tisu? Jika sel stem boleh dianggap sebagai “bahan asas” regenerasi, kejuruteraan tisu pula membina persekitaran yang sesuai untuk membantu pembentukan dan pemulihan tisu.

Bayangkan sebuah rumah yang rosak. Kita bukan sahaja memerlukan pekerja untuk membaikinya, tetapi juga struktur kerangka dan bahan binaan yang sesuai.

Teknologi kejuruteraan tisu melibatkan gabungan sel, biobahan dan faktor biologi untuk menghasilkan struktur yang dapat menyokong pembentukan atau pemulihan tisu.

Di antaranya teknologi terkini termasuklah pencetakan 3D, untuk pembentukan struktur seperti tisu kulit dan tulang.

Matlamatnya bukan sekadar memasukkan sel ke dalam badan, tetapi mewujudkan persekitaran yang menyokong proses pembaikan tisu.

Teknologi ini berpotensi melengkapi rawatan sedia ada dan membantu mengatasi keterbatasan tertentu, contohnya penghasilan tisu kulit bagi pesakit luka terbakar yang teruk.

Namun, pendekatan regeneratif perlu disesuaikan mengikut jenis tisu dan penyakit kerana tiada pendekatan “one-size-fits-all” dalam perubatan regeneratif.

Cabaran Memastikan Keselamatan dan Kualiti

Selain keberkesanan, aspek keselamatan amat penting dalam pembangunan produk berasaskan sel dan tisu kerana ia melibatkan risiko seperti pencemaran, tindak balas imun, perubahan tingkah laku sel dan pembentukan tumor.

Oleh itu, produk perubatan regeneratif perlu melalui proses yang sistematik, bermula daripada penyelidikan asas, kajian in vitro dan praklinikal serta pembangunan produk seperti yang giat dijalankan di makmal penyelidikan di Jabatan Kejuruteraan Tisu dan Perubatan Regeneratif, Fakulti Perubatan, UKM.

Kajian ini menunjukkan bahawa pendekatan regeneratif bukan sekadar konsep di makmal, tetapi berpotensi diterjemahkan kepada aplikasi klinikal.

Kajian klinikal, pemantauan keselamatan serta penilaian dan kelulusan pihak berkuasa amatlah penting kerana produk yang diberikan kepada manusia mestilah dihasilkan secara konsisten dengan kawalan kualiti dan piawaian keselamatan yang ketat.

Harapan yang Realistik

Jadi, adakah sel stem dan kejuruteaan tisu dan perubatan regeneratif merupakan masa depan perubatan? Berpotensi besar, ya. Tetapi ia bukan jalan pintas.

Perubatan regeneratif berpotensi membantu memulihkan fungsi tisu yang rosak, bukan sekadar mengawal simptom.

Walaupun perkembangan terapi sel, kejuruteraan tisu, biobahan dan teknologi 3D semakin pesat, penyelidikan dan bukti klinikal masih diperlukan sebelum teknologi ini menjadi rawatan rutin.

Masyarakat juga perlu memahami perbezaan antara sesuatu yang sedang dikaji, menunjukkan potensi, telah diuji dalam kajian klinikal atau telah diluluskan untuk rawatan agar keputusan dibuat berdasarkan bukti, bukan sekadar harapan.

Mungkin suatu hari nanti, apa yang pada hari ini kelihatan seperti teknologi masa depan akan menjadi sebahagian daripada rawatan perubatan biasa.

Bukan kerana kita percaya akan “keajaiban sel stem, kejuruteraan tisu dan perubatan regeneratif”, tetapi kerana sains telah membuktikan bahawa ia benar-benar berkesan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Manira Maarof
Ketua Jabatan & Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Tisu & Perubatan Regeneratif (DTERM),
Fakulti Perubatan, UKM
E-mel : manira@ukm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.