
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Keadaan jerebu yang berlaku ketika ini dijangka tidak memberi impak besar terhadap sektor pertanian, sebaliknya lebih memberi kesan kepada aspek kesihatan orang ramai.
- Petani dan penternak perlu utamakan keselamatan, sentiasa pantau bacaan IPU dan gunakan peralatan perlindungan diri semasa kerja.
- Perubahan iklim dan musim kering berpanjangan lebih membimbangkan, berpotensi menjejaskan pengeluaran tanaman padi.
- KPKM galak R&D untuk varieti padi tahan cuaca ekstrem dan mempertingkat sistem pengairan mencukupi untuk petani.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, petani dan penternak bagaimanapun perlu mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti harian, terutama di kawasan terbuka.
“Walaupun kerja perlu diteruskan, petani dan penternak perlu sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dan menggunakan kelengkapan perlindungan diri yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media, di sini, hari ini.
Sementara itu, Chan berkata, cabaran yang lebih membimbangkan terhadap sektor pertanian ialah perubahan iklim, khususnya keadaan musim kering yang berpanjangan.
Katanya, fenomena itu berpotensi menjejaskan pengeluaran hasil pertanian, termasuk tanaman padi yang memerlukan bekalan air mencukupi bagi memastikan pertumbuhan dan hasil yang optimum.
“Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus menggalakkan pelaksanaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan varieti padi yang lebih tahan terhadap keadaan cuaca ekstrem, khususnya musim kemarau,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan kepentingan penyediaan sistem pengairan yang mencukupi dan berkesan bagi memenuhi keperluan petani, khususnya di kawasan penanaman padi.