MAHA 2026 : Teknologi dan inovasi pertanian pemangkin rantaian agromakanan negara

MAHA 2026 menyasarkan MOU bernilai RM8 bilion  

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bukan sekadar platform mempamerkan inovasi dan teknologi pertanian, malah pemangkin kepada penciptaan nilai serta aktiviti ekonomi dalam rantaian agromakanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • MAHA 2026 menggalakkan padanan perniagaan antara pihak berkaitan sepanjang penganjuran bagi menjana aktiviti ekonomi sebenar.
  • Sasaran MOU bernilai RM8 bilion, transaksi dijangka RM58 juta sepanjang 10 hari.
  • Teknologi mesti diterapkan sepanjang rantaian bekalan, daripada pengeluaran bahan mentah hingga produk makanan diproses.
  • Kecerdasan buatan dan dron dipamerkan dengan aplikasi pertanian termasuk penyemburan baja serta kawalan perosak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin menyatakan pendekatan itu dilaksana menerusi aktiviti padanan perniagaan antara pihak berkaitan sepanjang penganjuran MAHA.

“Bukan sahaja teknologi dipamerkan, makanan dihidangkan, malah kita mengharapkan padanan perniagaan yang diterjemah kepada aktiviti ekonomi yang sebenar.

“MAHA 2026 juga menyasarkan memorandum persefahaman (MOU) bernilai RM8 bilion sepanjang penganjuran 10 hari dan RM58 juta pula dijangka dijana menerusi transaksi sepanjang tempoh berkenaan,” katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Tambah Datuk Chan, penciptaan nilai dalam sektor agromakanan memerlukan teknologi diterapkan sepanjang rantaian bekalan, daripada pengeluaran bahan mentah sehingga menghasilkan produk makanan diproses.

Antara teknologi yang diketengahkan termasuk kecerdasan buatan (AI) dan dron, yang turut mempunyai aplikasi dalam aktiviti pertanian seperti penyemburan baja dan racun perosak.

Dalam pada itu, MAHA 2026 turut menampilkan pavilion antarabangsa melibatkan 14 negara antaranya Amerika Syarikat, Rusia, China, Jepun, Korea Selatan, Uzbekistan, Denmark, Hungary, Belanda dan Kenya.

Beliau berkata, penyertaan negara-negara asing itu melengkapkan penglibatan pavilion negeri-negeri di Malaysia, sekali gus memberikan elemen antarabangsa kepada penganjuran kali ini.

MAHA 2026 dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September di MAEPS Serdang yang turut menampilkan persembahan laser, cahaya dan dron pada 30 Ogos sempena Hari Kebangsaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.