
JITRA, 26 Ogos – Lebih 1,200 pelajar Tingkatan Lima daripada 13 sekolah di Parlimen Kuala Kedah bakal mendapat manfaat menerusi program tuisyen dalam talian percuma sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula November ini.
- Inisiatif kerjasama Sahabat MADANI dan sebuah syarikat swasta sediakan tuisyen dalam talian percuma bagi persediaan SPM, boleh diakses hanya dengan sambungan Internet.
- Program bantu keluarga kurang berkemampuan mengurangkan kos tuisyen yang tinggi, kos luar boleh mencecah lebih RM2,000 setahun.
- Romli mencadangkan Kementerian Pendidikan meluaskan program ke lebih banyak sekolah di Kedah, ikut model pelaksanaan di Selangor.
- Lima pelajar terbaik akan diberi hadiah; ibu bapa diseru memberi galakan dan sokongan supaya pelajar memanfaatkan kemudahan.
Program berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama Sahabat MADANI Parlimen Kuala Kedah dengan sebuah syarikat swasta yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Pengerusi Startkompen Kedah, Datuk Romli Ishak berkata, inisiatif itu memberi peluang kepada pelajar mendapatkan akses kepada pembelajaran berkualiti tanpa perlu menanggung kos tuisyen yang tinggi, khususnya bagi keluarga kurang berkemampuan.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Kanan Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat berkata, pelajar hanya memerlukan sambungan Internet yang baik untuk mengikuti kelas berkenaan tanpa perlu keluar rumah atau menanggung kos tambahan bagi perjalanan.
“Kalau di luar, kosnya mahal dan boleh mencecah lebih RM2,000 setahun untuk seseorang pelajar mengikuti tuisyen dalam talian. Jadi, kita mahu pelajar menggunakan peluang ini sebaik mungkin, terutama kerana SPM semakin hampir.
“Masih ada kira-kira tiga bulan untuk mereka membuat pecutan terakhir dan meningkatkan penguasaan dalam setiap subjek,” katanya.
Datuk Romli berkata demikian ketika ditemui media pada Program Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Majlis Maulidur Rasul Sahabat MADANI peringkat Parlimen Kuala Kedah di Kota Rentang, pada Selasa.
Beliau berkata, pelajar kini boleh mengakses sistem berkenaan menerusi 10 subjek yang ditawarkan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM pada November.
Dalam pada itu, Datuk Romli mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan memperluaskan program berkenaan ke lebih banyak sekolah di Kedah bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar mendapat manfaat.
Katanya, pelaksanaan program sama di Selangor yang membabitkan lebih 25,000 pelajar boleh dijadikan contoh untuk diperluaskan di negeri lain.
“Kita mahu inisiatif seperti ini turut diperluaskan di Kedah supaya lebih ramai pelajar, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah dan kawasan luar bandar, mendapat peluang yang sama,” katanya.
Sebagai galakan kepada peserta, lima pelajar terbaik yang menyertai program tuisyen berkenaan dan memperoleh keputusan cemerlang akan diberikan hadiah.
Pada masa sama, ibu bapa turut diseru memainkan peranan dengan memberikan galakan dan sokongan kepada anak masing-masing supaya memanfaatkan kemudahan berkenaan dengan sebaik mungkin.