
KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Ilmu serta pengalaman yang dimiliki penyelidik bukan sekadar kejayaan peribadi, sebaliknya amanah yang perlu dikongsi demi manfaat masyarakat dan negara, demikian prinsip yang dipegang Tokoh Saintis dan Inovator Kreatif Maulidur Rasul 2026, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
- Amalkan tabligh: sampaikan penemuan supaya kajian memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
- Kejujuran dalam penyelidikan wajib, termasuk mengakui kegagalan eksperimen.
- Jangan manipulasi keputusan hanya untuk kejayaan; integriti mesti dijaga.
- Inovasi perlu diterjemah kepada aplikasi industri, manfaat sosial dan kemajuan negara, bukan sekadar kertas atau paten.
Beliau menyifatkan pengiktirafan yang diterima itu merupakan amanah untuk terus menyumbang kepada industri dan masyarakat, walaupun selepas bersara.
“Amanah ilmu yang kita ada ini kalau dilihat ciri-ciri Rasulullah S.A.W sendiri ialah tabligh iaitu menyampaikan.
“Jadi ia akan terus memotivasikan saya untuk terus membantu negara secara langsung atau tidak langsung,”katanya selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia.
Tambah beliau, kejujuran juga menjadi nilai penting dalam penyelidikan termasuk ketika berdepan kegagalan sesuatu eksperimen atau uji kaji.
Menurutnya, penyelidik tidak seharusnya memanipulasi hasil kajian semata-mata untuk mendapatkan kejayaan.
“Saya berharap hasil penyelidikan tidak terhenti pada penghasilan kertas kajian atau paten sahaja.
“Sebaliknya, inovasi perlu diterjemahkan kepada manfaat kepada industri, masyarakat dan negara,” ujarnya lagi.
Datuk Dr. Ahmad Parveez yang mempunyai pengalaman 36 tahun dalam penyelidikan serta industri sawit menyifatkan pengiktirafan itu bukan sahaja penghargaan kepada dirinya, malah kepada para penyelidik dan institusi yang bersama-sama memajukan industri berkenaan.