
ANKARA, 26 Ogos – Malaysia dan Türkiye bersetuju memperkukuh kerjasama pertahanan dua hala menerusi penubuhan platform Malaysia-Türkiye Policy Talk, yang julung kali diadakan di Ankara pada 24 Ogos lalu.
- Mesyuarat diketuai Datuk Yani Daud bersama delegasi Malaysia di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan Nasional Türkiye.
- Pertemuan dipengerusikan Ketua Pengarah Keselamatan dan Pertahanan Leftenan Jeneral Ilkay Altindag.
- Kedua pihak bersetuju menyediakan Terma Rujukan bagi Policy Talk untuk kenal pasti instrumen kerjasama serta program pertahanan berpotensi.
- Malaysia menghargai sumbangan Türkiye terhadap keamanan Asia Barat dan menjemput penyertaan sesi kedua di Kuala Lumpur tahun depan.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, pertemuan berkenaan berlangsung di Ibu Pejabat Kementerian Pertahanan Nasional Türkiye dan diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Yani Daud, bersama delegasi Malaysia.
Pertemuan itu dipengerusikan Ketua Pengarah Keselamatan dan Pertahanan, Kementerian Pertahanan Nasional Türkiye, Leftenan Jeneral Ilkay Altindag.
“Platform berkenaan menjadi wadah bagi kedua-dua negara bertukar pandangan mengenai dasar dan strategi pertahanan, perkembangan keselamatan geopolitik serta isu berkaitan kestabilan dan keamanan serantau,” menurut kenyataan itu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bersetuju menyediakan Terma Rujukan (TOR) bagi Malaysia-Türkiye Policy Talk sebagai landasan untuk mengenal pasti instrumen kerjasama serta meneroka program pertahanan yang berpotensi dilaksanakan pada masa akan datang.
Malaysia turut menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Türkiye dalam usaha mengekalkan keamanan di Asia Barat susulan pemeteraian Pakatan Mekah baru-baru ini.
Sebagai langkah susulan, Malaysia menjemput Türkiye untuk menyertai sesi Malaysia-Türkiye Policy Talk kali kedua yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur tahun depan.
“Kerjasama berterusan menerusi platform berkenaan dijangka menyumbang kepada pengukuhan hubungan strategik dan persahabatan antara Malaysia dengan Türkiye, selaras penekanan yang digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP),” menurut kenyataan tersebut.