RCI TH : Membongkar kebenaran, menitip harapan

Himpunan Aman dan Penyerahan Memorandum Berhubung Laporan RCI TH di hadapan pintu masuk utama Parlimen pada 11 Ogos 2026/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • RCI mesti diterjemahkan kepada pelan pelaksanaan jelas, pihak bertanggungjawab dan tindakan tegas, bukan sekadar laporan yang tersimpan di rak.
  • Tadbir urus, kawalan dalaman dan audit telus mesti diperkuat; konflik kepentingan diselesaikan dan pengurusan profesional dipulihkan untuk memulihkan kepercayaan.
  • Keadilan mesti ditegakkan tanpa mengira pangkat; salah laku disiasat dan dihukum supaya RCI membawa pembaharuan sebenar, bukan sandiwara politik.

Polemik berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji menyaksikan ada kecenderungan untuk membawa isu ini ke gelanggang politik dan perkauman.

Naratif sebegitu sebenarnya terpesong daripada persoalan paling asas iaitu adakah amanah pendeposit telah diurus dengan integriti dan segala kelemahan yang didedahkan akan diperbetulkan?

Pada Selasa, Sidang Khas Dewan Rakyat yang membahaskan laporan RCI telah mencuri perhatian seluruh negara.

Selama lebih 10 jam, perdebatan hangat itu disertai 39 Ahli Parlimen yang bangun menyuarakan pandangan, persoalan dan tuntutan berhubung sebuah institusi yang mengurus amanah jutaan pendeposit.

Namun, apa jua ruang dan platform bagi membahaskan laporan RCI tidak sepatutnya menjadi medan untuk menuding jari kepada mana-pihak atau menentukan siapa menang dan siapa kalah.

Apatah lagi disempitkan menjadi isu yang memecahbelahkan masyarakat mengikut bangsa atau kelompok.

Hakikatnya, yang sedang diuji bukan bangsa, tetapi sistem. Bukan agama, tetapi tadbir urus. Dan bukan siapa yang memegang kuasa, tetapi sejauh mana amanah itu dipelihara.

Jadi, tidak wajar isu ini dibiarkan berubah menjadi pertarungan bangsa. Jangan pula ia dijadikan senjata politik. Sebaliknya ia sepatutnya dijadikan satu titik reformasi total.

Ia kerana wang pendeposit tidak mempunyai cap logo parti politik, bukan melambangkan mana-mana bangsa dan tiada kepentingan peribadi. Ia hanya ada satu tuntutan iaitu Amanah yang mesti dijaga.

Laporan RCI seharusnya menjadi cermin untuk melihat apa yang pernah berlaku dengan jujur dan terbuka.

Andai terdapat kelemahan dalam pengurusan, perlu berani mengakuinya. Kalau keputusan pelaburan terdahulu menimbulkan persoalan, ia perlu diteliti. Jika terdapat unsur salah laku, tindakan sewajarnya mesti diambil.

Ia tidak boleh dibiarkan berakhir sebagai rekod bersejarah atau dokumen yang disimpan di rak atau perdebatan politik yang berlarutan. Nilai sebenar RCI terletak pada tindakan yang harus diterjemahkan selepas laporan itu.

Setiap syor perlu mempunyai pelan pelaksanaan yang jelas serta pihak yang bertanggungjawab dan mekanisme untuk memastikan ia benar-benar dilaksanakan.

Pendeposit juga berhak mengetahui apa yang telah berubah.

Adakah sistem pelaburan kini lebih ketat? Adakah kawalan dalaman telah diperkukuhkan? Adakah konflik kepentingan benar-benar ditangani? Adakah lembaga dan pengurusan mempunyai mekanisme semak dan imbang yang mencukupi?

Lebih penting lagi, adakah keadilan akan ditegakkan terhadap mereka yang terbukti bersalah, tanpa mengenal pangkat, kedudukan mahupun pengaruh?

Inilah persoalan utama yang akan menentukan sama ada RCI benar-benar membawa perubahan atau sekadar menjadi satu lagi episod dalam sejarah pentadbiran negara.

Kita juga perlu berhati-hati daripada menjadikan RCI sebagai alat untuk menghukum keseluruhan institusi.

Kesilapan dilakukan individu tidak semestinya bermakna institusi itu gagal. Tetapi apabila kesilapan itu tidak diperbetulkan, juga tidak dijadikan pengajaran, ia boleh menghakis kepercayaan dan merosakkan institusi.

Kepercayaan tidak boleh dibina dengan slogan. Tetapi melalui angka yang telus, audit yang berkesan, keputusan pelaburan yang profesional, tadbir urus yang kukuh dan keberanian mengambil tindakan apabila berlaku pelanggaran.

Pendeposit tidak seharusnya dipaksa memilih antara “percaya” atau “tidak percaya” kepada Tabung Haji. Mereka perlu diberikan sebab yang kukuh untuk percaya.

Dengan prestasi kewangan yang menunjukkan pemulihan sejak 2024, pendapatan pelaburan Tabung Haji mencecah RM4.64 bilion pada tahun 2025.

Pencapaian itu membolehkan Tabung Haji mengisytiharkan agihan keuntungan 3.5 peratus, kadar dividen tertinggi sejak 2018, melibatkan bayaran RM3.22 bilion kepada lebih 9.7 juta pendeposit.

Tabung Haji juga telah berjaya menyelesaikan 75 peratus daripada 25 syor penambahbaikan RCI bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi itu.

Dalam masa sama, langkah segera diambil kerajaan dengan menubuhkan pasukan petugas khas bagi melaksanakan syor RCI, memperkasakan Akta Tabung Haji (Akta 535) serta mengarahkan siasatan menyeluruh serta merta dilakukan Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Namun dengan menyatakan Tabung Haji kini berada dalam keadaan lebih baik tidak mencukupi dan semudah itu mengembalikan kepercayaan pendeposit.

Mereka mahu kebenaran, akauntabiliti dan jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang. Dan, kepercayaan itu hanya boleh lahir semula daripada tindakan yang nyata selepas RCI.

Jika RCI berjaya menghasilkan pembaharuan sebenar, maka kontroversi hari ini boleh menjadi hikmah untuk masa depan.

Tabung Haji boleh menutup buku lama dan keluar daripada episod ini dengan sistem yang lebih kuat, pengurusan yang lebih profesional dan keyakinan pendeposit yang lebih kukuh.

RCI tidak seharusnya menjadi penamat kisah Tabung Haji. Sebaliknya, membuka lembaran kepada permulaan yang lebih segar iaitu integriti mesti menjadi budaya, bukan sekadar prosedur.

Pembudayaan integriti yang lebih baik memerlukan perubahan minda 360 darjah daripada sekadar “takut kepada hukuman” kepada “sedar tentang amanah.”

Apa yang berlaku kepada Tabung Haji mesti membuka mata dan menjadi iktibar kepada mana-mana kerajaan, institusi dan agensi pengurusan dana bahawa setiap sen yang diamanahkan rakyat mesti diurus dengan integriti, setiap keputusan mesti boleh dipertanggungjawabkan dan setiap kesalahan mesti ada akibatnya.

Itulah ukuran sebenar kejayaan RCI.

Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Emmi Noraliza Adnan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.