Pemansuhan AUKU : Antara reformasi dengan akauntabiliti

Gambar hiasan/RTM

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan jamin tiada undang-undang mengongkong gerakan mahasiswa; tumpuan kepada pentadbiran dan pengurusan universiti.
  • Kebebasan mahasiswa perlu disertai tanggungjawab, bukan lesen; tertakluk kepada undang-undang jenayah dan peraturan institusi.
  • Autonomi mahasiswa harus seiring kebebasan dan akauntabiliti, berpaksikan nilai Rukun Negara.
  • OHEA disusun melalui jawatankuasa bebas dan libat urus, serta mekanisme peralihan untuk elak akta baharu mengulangi kelemahan lama.

Lebih lima dekad selepas diperkenalkan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 kini memasuki fasa paling penting apabila kerajaan memutuskan untuk memansuhkannya.

Ia bakal digantikan dengan rang undang-undang baharu yang dijangka dibentangkan di Parlimen, tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun memberi jaminan, tiada undang-undang bersifat mengongkong atau menekan gerakan mahasiswa akan diperkenalkan.

Sekiranya undang-undang baharu diperlukan, tumpuannya hendaklah kepada aspek pentadbiran, serta pengurusan universiti dan kolej universiti.

Bagi Perdana Menteri, golongan muda berusia 18 tahun ke atas sewajarnya diberi kepercayaan penuh kerana mereka sudah dianggap dewasa dan matang, termasuk diberi ruang untuk belajar daripada kesilapan.

Namun timbul persoalan, jika mahasiswa tidak lagi dikawal melalui undang-undang khusus, sejauh mana mereka bersedia memikul tanggungjawab yang datang dengan kebebasan yang diberikan?

Perlu diingat, pemansuhan AUKU tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pembebasan mutlak mahasiswa daripada segala bentuk peraturan.

Dalam erti kata lain, kebebasan bukan lesen untuk melakukan apa sahaja.

Mahasiswa masih tertakluk kepada undang-undang jenayah dan undang-undang lain yang terpakai kepada semua warganegara, selain terikat dengan peraturan institusi pendidikan masing-masing.

Tetapi, jangan salah anggap. Peringatan ini bukan bermakna mahasiswa dikongkong, tetapi masih ada batas yang tidak wajar dilangkau.

Elak berlebihan sehingga hanyut. Sentiasa berpaksi kepada lima prinsip Rukun Negara.

Realitinya, semakin besar kebebasan dinikmati, semakin besar tanggungjawab untuk membuktikan kebebasan itu mampu diurus secara matang.

Jangan sesekali guna ruang yang diberikan itu untuk mencipta fitnah atau ugutan, mencetuskan naratif keganasan atau tindakan yang melanggar undang-undang.

Gunakanlah ia untuk berfikir, berhujah, mengkritik dan memperbaiki masyarakat, serta menyertai proses demokrasi kampus secara beretika.

Pendirian kerajaan bahawa mahasiswa tidak perlu lagi tertakluk kepada undang-undang khusus dalam kerangka baharu merupakan satu bentuk kepercayaan bahawa mereka mampu menentukan sendiri apa yang wajar dilakukan.

Dalam konteks ini, autonomi mahasiswa harus bergerak seiring dengan prinsip kebebasan dan akauntabiliti.

Jika dilihat dari satu sudut, pengumuman kerajaan ini selari dengan reformasi pendidikan tinggi negara, serta perancangan strategik Kementerian Pendidikan Tinggi.

Termasuk mewujudkan kerangka baharu yang lebih progresif, seperti yang terkandung dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

Susulan cadangan pemansuhan AUKU, sebuah jawatankuasa bebas akan ditubuhkan, bagi meneliti keseluruhan aspek berkaitan pembentukan One Higher Education Act (OHEA) atau Akta Satu Pendidikan Tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jawatankuasa tersebut akan melihat pelbagai aspek berkaitan akta baharu ini, bagi memastikan ia memenuhi keperluan pendidikan tinggi semasa dan masa depan.

Proses penggubalan akta berkenaan akan turut melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan.

Bagi memastikan urusan perundangan institusi pendidikan tinggi tidak terjejas sepanjang proses pemansuhan AUKU dan penggubalan akta baharu, satu mekanisme peralihan akan diwujudkan.

Proses ini memerlukan penelitian menyeluruh memandangkan AUKU merangkumi pelbagai aspek, termasuk kepentingan mahasiswa, penubuhan universiti, tadbir urus, akademik dan kedudukan pensyarah.

Dalam membangunkan OHEA, penting untuk melihat keperluan masa kini dan juga masa hadapan. Ini bagi mengelak akta baharu itu kelak tidak hanya berubah pada nama, tetapi masih mempunyai roh yang sama dengan AUKU.

Pada akhirnya, nilai sebenar pemansuhan AUKU bukan sekadar penghapusan sebuah akta lapuk.

Sebaliknya pada kemampuan negara membina satu ekosistem pendidikan tinggi yang berasaskan kebebasan dan autonomi, tanpa mengabaikan akauntabiliti.

Jika keseimbangan ini berjaya dicapai, Malaysia bukan sekadar mempunyai undang-undang pendidikan tinggi yang baharu.

Bahkan, memiliki institusi pendidikan tinggi dan mahasiswa yang benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Ulasan Berita ini disedikan oleh Editor Berita RTM, Masniza Awang Kechik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.