
ULASAN BERITA
- Patahkan rangkaian sindiket, bukan sekadar menangkap individu; henti kitaran jenayah dengan tumpuan kepada ketua sindiket dan rangkaian.
- Perkukuh keselamatan KLIA melalui teknologi moden, analisis data, perkongsian risikan dan pemantauan berasaskan risiko.
- Kerjasama agensi pada tahap tertinggi dan tindakan pencegahan agresif dengan penguatkuasaan konsisten, bukan pendekatan reaktif bermusim.
Kes penyeludupan dadah sekali lagi dibongkar di KLIA. Skripnya hampir sama. Ada tangkapan, ada rampasan dan ada amaran keras pihak berkuasa.
Namun selepas beberapa ketika, muncul pula kes baharu dengan modus operandi berbeza.
Seolah-olah sindiket bergerak beberapa langkah ke hadapan, sementara kita masih sibuk membincangkan langkah yang sepatutnya diambil.
Persoalannya bukan lagi sama ada sindiket berani atau tidak. Jawapannya sudah jelas.
Mereka berani kerana percaya masih ada ruang untuk dieksploitasi. Mereka berani kerana tahu akan sentiasa ada ‘keldai’ yang mudah dipengaruhi oleh wang dan tawaran hidup mewah.
Di sinilah bermulanya masalah yang lebih besar daripada sekadar sebuah bungkusan dadah yang ditemui dalam bagasi.
Masalah sebenar ialah wujudnya rangkaian manusia yang sanggup menjadikan kehancuran orang lain sebagai sumber kekayaan.
Dalam dunia jenayah terancang, orang di hadapan hanyalah dianggap sebagai bidak. Pemain sebenar jarang muncul bawah cahaya.
Justeru, membanteras masalah ini hanya dengan menangkap penyeludup tidak akan mematikan penyakitnya.
Ia seperti menghapuskan daun kering tetapi membiarkan akar pokok terus hidup.
Maksudnya begini, selagi rangkaian utama tidak dipatahkan, selagi itulah sindiket dadah akan terus tumbuh.
Adapun KLIA, ia bukan sekadar sebuah lapangan terbang. Ia simbol keupayaan Malaysia dalam mengurus keselamatan sempadan.
Maka, setiap cubaan menjadikan lapangan terbang ini sebagai laluan jenayah perlu dipandang serius.
Jangan sesekali biarkan pintu masuk negara sebagai ruang percubaan bagi mereka yang mahu menguji kelemahan sistem.
Jika penyeludupan dadah di KLIA mahu benar-benar dibendung, pendekatan lama yang hanya menunggu kes berlaku sebelum bertindak tidak lagi memadai.
Sebaliknya, strategi berkesan, pencegahan pintar dan integrasi teknologi canggih perlu segera dilaksana.
Ia kunci utama dalam membendung penyeludupan dadah di gerbang utama antarabangsa.
Ingatlah, sindiket jenayah tidak pernah tidur. Mereka sentiasa mengubah taktik, mencari kelemahan baharu dan mengeksploitasi setiap ruang yang ada.
Maka, tindak balas negara juga mesti lebih pantas, lebih bijak dan lebih tegas. Bagaimanakah caranya?
Pertama, usaha membanteras dadah mesti bermula dengan memutuskan rangkaian sindiket. Bukan sekadar menangkap individu di lapangan.
Tanpa mematahkan kepala rangkaian, menangkap seorang demi seorang keldai dadah hanya akan menjadi kitaran yang tidak berkesudahan.
Kedua, sistem keselamatan di pintu masuk negara seperti KLIA perlu sentiasa diperkukuhkan.
Sindiket sentiasa mencari kelemahan, sama ada melalui kaedah penyembunyian baharu, manipulasi dokumen atau penggunaan individu sebagai pembawa.
Oleh itu, penggunaan teknologi moden, analisis data, perkongsian risikan dan pemantauan berasaskan risiko wajar dipertingkatkan.
Negara tidak boleh bergantung hanya pada pemeriksaan biasa sedangkan pihak musuh menggunakan kaedah yang semakin canggih.
Ketiga, kerjasama antara agensi mesti berada pada tahap tertinggi. Jenayah rentas sempadan tidak boleh ditangani secara berasingan.
Ia memerlukan koordinasi kukuh antara pihak keselamatan lapangan terbang, penguat kuasa, agensi antidadah, imigresen, kastam dan rakan antarabangsa.
Sindiket bergerak melalui rangkaian, maka usaha menentangnya juga mesti melalui rangkaian yang lebih kuat.
Namun, semua usaha ini tidak akan berhasil jika hanya menjadi slogan atau kenyataan selepas sesuatu kes berlaku.
Perang terhadap dadah memerlukan tindakan konsisten. Bukannya bermusim. Sindiket tidak akan berhenti kerana takut kepada amaran keras.
Mereka hanya akan berhenti apabila berdepan sistem yang sukar ditembusi, penguatkuasaan berkesan dan masyarakat yang tidak lagi mudah diperalatkan.
Kesimpulannya, penyeludupan dadah di KLIA perlu dilihat sebagai ancaman keselamatan negara. Bukan sekadar kes jenayah biasa.
Kita perlu bergerak daripada pendekatan reaktif kepada pendekatan pencegahan yang agresif dan strategik.
Lindungilah pintu masuk negara dan hancurkan rangkaian sindiket.
Dalam perang melawan dadah, kelewatan bertindak bukan sekadar memberi peluang kepada sindiket.
Sebaliknya, memberi ruang kepada mereka untuk memusnahkan lebih banyak kehidupan.
Kepada rakyat Malaysia, ingat pesanan ini. Dadah bukan teman sejati, tetapi musuh abadi.
Ulasan Berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Hafizul Baharuddin