Piala Dunia FIFA 2026, La Roja kembali takluk dunia

Pemain Sepanyol meraikan kejayaan menjulang trofi Piala Dunia FIFA 2026 di Stadium New York, Amerika Syarikat pada 19 Julai 2026/AFP

KOMENTAR

RINGKASAN BERITA AI
  • Sepanyol dinobat juara Piala Dunia 2026, menewaskan Argentina 1-0 melalui gol Ferran Torres pada masa tambahan.
  • Penguasaan Sepanyol dominan 68 peratus, 20 percubaan 11 tepat; Enzo Fernandez dilayangkan kad merah yang mengubah perlawanan.
  • Messi mengundur diri sebagai legenda dunia, manakala Unai Simón dan Pau Cubarsi menerima pengiktirafan individu atas prestasi gemilang.

“Campeones del Mundo! Campeones del Mundo!”. Bergema laungan penyokong La Roja di segenap ruang Stadium New York New Jersey sejurus wisel penamat perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 ditiup.

Penantian 16 tahun akhirnya, berakhir apabila Sepanyol kembali bergelar juara dunia, selepas menewaskan juara bertahan, Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam aksi final, awal pagi tadi.

Kejayaan itu menghadiahkan gelaran dunia kedua buat skuad kendalian Luis de la Fuente sejak kejayaan sulung di Afrika Selatan pada 2010, sekali gus mengembalikan La Roja ke puncak bola sepak dunia.

Ferran Torres memahat nama selaku wira Sepanyol apabila tenang menyempurnakan peluang pada minit ke-106 selepas kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan sepanjang 90 minit permainan.

Sementara itu, statistik perlawanan jelas menggambarkan keunggulan La Roja apabila mendominasi 68 peratus penguasaan bola selain melepaskan 20 percubaan dengan 11 daripadanya tepat ke sasaran, manakala Argentina gagal mencatatkan walau satu percubaan tepat sepanjang 120 minit aksi.

Harapan La Albiceleste untuk mempertahankan kejuaraan semakin sukar selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad merah pada penghujung masa sebenar.

Kekurangan seorang pemain menjadi titik perubahan buat Argentina apabila skuad Lionel Scaloni itu gagal mengekang asakan lawan sebelum akhirnya rebah di tangan Sepanyol menerusi gol penentu kemenangan.

Air mata seorang legenda akhirnya gugur. Lionel Messi rebah sejurus wisel penamat ditiup, sebelum ditenangkan rakan sepasukan yang cuba meredakan kekecewaannya.

Wajahnya jelas menggambarkan betapa peritnya menyaksikan impian mempertahankan kejuaraan dunia berkecai di depan mata.

Namun, Messi tetap meninggalkan pentas Piala Dunia sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman dengan status Greatest of All Time (GOAT), dengan legasi yang terpahat menerusi kejuaraan dunia 2022 serta deretan pencapaian luar biasa sepanjang kariernya.

Dua gelaran Copa America, lapan Ballon d’Or serta pelbagai rekod yang meletakkan namanya sebaris legenda teragung dalam sejarah bola sepak.

Kejayaan Sepanyol turut diserikan dengan pengiktirafan individu apabila penjaga golnya, Unai Simon, dipilih sebagai penerima Anugerah Sarung Tangan Emas selepas mencatat tujuh perlawanan tanpa bolos dan hanya dibolosi sekali sepanjang lapan aksi diharungi.

Rakan sepasukannya, Pau Cubarsi pula muncul Pemain Muda Terbaik kejohanan hasil aksi matang di benteng pertahanan yang menjadi antara faktor utama kejayaan La Roja menjulang trofi buat kali kedua dalam sejarah.

Sementara itu, penyerang sensasi Perancis, Kylian Mbappe, membawa pulang Kasut Emas selepas mengungguli senarai penjaring dengan ledakan 10 gol sepanjang kempen Piala Dunia 2026.

Final kali ini turut mencipta sejarah apabila FIFA buat pertama kali memperkenalkan persembahan ‘halftime show’ pada aksi kemuncak Piala Dunia.

Persembahan penuh warna-warni yang menampilkan barisan artis terkenal dunia bukan sahaja memukau lebih 80,000 penonton di stadium, malah jutaan peminat di seluruh dunia, sekali gus memberi dimensi baharu kepada acara bola sepak paling berprestij itu.

Di Malaysia, kemeriahan Piala Dunia turut dirasai menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar rasmi kejohanan, yang membawakan siaran 104 perlawanan termasuk aksi final.

Siaran menerusi rangkaian televisyen dan platform digital RTM, sekali gus memastikan pesta bola sepak terbesar dunia itu dapat dinikmati segenap lapisan rakyat.

Dataran Merdeka, mercu tanda bersejarah yang menjadi saksi detik penting negara, bertukar menjadi stadium terbuka apabila dibanjiri lebih 25,000 peminat bola sepak negara. Para peminat dari serata negara berhimpun bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.

Aksi penentuan juara membabitkan Argentina dan Sepanyol ditayangkan menerusi skrin gergasi bersempena program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026.

Program itu sekali gus menyatukan ribuan penyokong daripada pelbagai latar belakang yang bersama-sama menyaksikan detik bersejarah penobatan Sepanyol sebagai juara dunia baharu.

Piala Dunia 2026 akhirnya melabuhkan tirai sebagai edisi paling bersejarah dalam sejarah kejohanan apabila buat julung kalinya dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico selain menyaksikan penyertaan diperluaskan kepada 48 pasukan.

Selepas 104 perlawanan yang berlangsung sepanjang lebih sebulan, La Roja kembali merajai dunia buat kali kedua, manakala Messi meninggalkan pentas Piala Dunia sebagai legenda yang akan terus dikenang sepanjang zaman.

Berakhirnya Piala Dunia 2026, perhatian kini beralih kepada edisi 2030 yang bakal melakar satu lagi sejarah sebagai kejohanan pertama dianjurkan merentasi tiga benua dan enam negara.

Maghribi, Portugal dan Sepanyol menjadi tuan rumah utama, manakala Uruguay, Argentina serta Paraguay menganjurkan tiga perlawanan pembukaan sempena sambutan ulang tahun ke-100 Piala Dunia.

Kisah bola sepak sentiasa penuh kejutan. Ayuh peminat, kita nantikan bersama kerana mungkin sejarah baharu bakal tercipta pada edisi akan datang.

Oleh
Siti Aiyshah Baslie
Editor Berita RTM

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.