Keldai dadah : Ganjaran tidak setimpal hukuman

Gambar hiasan/RTM

KOMENTAR

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket keldai semakin berani dan licik, mengeksploitasi pelbagai latar belakang dengan wang mudah, pekerjaan atau perjalanan percuma.
  • Rampasan besar dan peningkatan kes membuktikan Malaysia masih menjadi sasaran serta laluan penting sindiket narkotik rentas sempadan.
  • Penguatkuasaan semakin ketat namun tidak mencukupi; rakyat mesti menolak bungkusan tidak diketahui dan jangan bawa bagasi milik orang lain.

Hanya satu penerbangan. Ganjarannya RM50,000. Namun, risikonya mungkin seumur hidup di penjara atau berdepan hukuman mati.

Itulah realiti yang terbongkar selepas seorang juruterbang didakwa menyeludup 25 kilogram pil ekstasi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Jakarta. Lebih mengejutkan, dia dipercayai mengaku pernah melakukan dua penghantaran sebelum ini tanpa dikesan.

Kes berprofil tinggi itu bukan sekadar mengenai seorang individu. Ia membuka tabir bagaimana sindiket dadah antarabangsa kini semakin berani, licik dan sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja, termasuk mereka yang memiliki kerjaya profesional dan dipercayai tidak menimbulkan syak wasangka.

Fenomena keldai dadah sebenarnya bukan isu baharu. Namun, coraknya kini semakin kompleks. Sindiket tidak lagi bergantung kepada satu kelompok tertentu, sebaliknya menyasarkan individu daripada pelbagai latar belakang dengan umpan wang segera, peluang pekerjaan, pakej percutian atau tiket penerbangan percuma.

Ada yang sedar mereka membawa dadah. Ada juga yang mendakwa diri diperdaya dan tidak mengetahui kandungan sebenar bagasi yang dibawa. Walau apa pun alasannya, akibat yang diterima tetap sama apabila ditahan di negara destinasi.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menunjukkan ancaman itu semakin serius. Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 108 kes penyeludupan dadah dikesan di KLIA, meningkat dua kali ganda berbanding 54 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam tempoh sama, 121 individu ditahan, termasuk 42 warga asing. Kes membabitkan aktiviti bekalan dan pengedaran pula meningkat daripada 18 kepada 47 kes, manakala jumlah pengedar yang ditahan hampir tiga kali ganda.

Lebih membimbangkan, sebanyak 1.35 tan pelbagai jenis dadah berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan melebihi RM108 juta. Angka itu bukan sekadar statistik. Ia membuktikan Malaysia terus menjadi sasaran dan laluan penting sindiket narkotik rentas sempadan.

Perubahan modus operandi turut menjadi cabaran utama penguat kuasa. Jika sebelum ini syabu dan pil sintetik sering menjadi tumpuan, kini sindiket dilihat lebih agresif menyeludup bunga ganja dalam kuantiti besar. Jumlah rampasan sahaja mencecah 1.25 tan setakat Julai tahun ini.

Peningkatan statistik tidak boleh dilihat semata-mata sebagai pertambahan aktiviti jenayah. Sebaliknya, ia turut menunjukkan keupayaan agensi penguat kuasa mengenal pasti dan mematahkan lebih banyak cubaan penyeludupan hasil pengukuhan risikan, penggunaan pendekatan lebih strategik serta kerjasama rentas agensi di peringkat domestik dan antarabangsa.

Namun, membanteras keldai dadah tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata. Sindiket dadah tidak pernah berhenti mencari mangsa. Sasaran mereka bukan sahaja individu yang terdesak, tetapi sesiapa sahaja yang mudah tergoda dengan tawaran wang mudah, pekerjaan segera atau perjalanan percuma tanpa usul periksa.

Jangan sesekali mempertaruhkan masa depan hanya kerana satu tawaran yang kelihatan lumayan. Jangan bawa bagasi milik orang lain. Jangan terima bungkusan yang kandungannya tidak diketahui, dan jangan percaya janji keuntungan besar tanpa proses yang sah.

Ia kerana satu keputusan yang dibuat dalam beberapa minit boleh membawa penyesalan sepanjang hayat.

Dalam memerangi jenayah dadah rentas sempadan, kejayaan bukan hanya diukur melalui jumlah tangkapan atau nilai rampasan. Kejayaan sebenar ialah apabila semakin ramai rakyat memilih untuk berkata tidak, sekali gus menutup ruang kepada sindiket untuk mencari mangsa baharu.

Oleh
Muhammad Rastwin Stia
Wartawan Berita RTM

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.