Tiada operasi khas atau tindakan terhadap individu belum kemas kini alamat MyKad – JPN

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias ketika Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR): Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal./ RTM

KUALA KRAI, 23 Julai – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan tiada tindakan penguatkuasaan dilaksanakan ketika ini terhadap individu yang belum mengemas kini alamat pada MyKad selepas berpindah kediaman, walaupun kewajipan itu diperuntukkan di bawah undang-undang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengemas kini alamat di MyKad adalah kewajipan di bawah Peraturan 15; kegagalan boleh menjadi kesalahan mengikut Peraturan 25.
  • Pertukaran alamat pada MyKad tidak menukar pusat mengundi secara automatik; pemilih perlu memohon pertukaran kepada SPR.
  • JPN menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan mengelakkan spekulasi yang menimbulkan salah faham.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, mengemas kini alamat selepas berpindah tempat tinggal merupakan kewajipan di bawah Peraturan 15, manakala kegagalan berbuat demikian boleh menjadi suatu kesalahan mengikut Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kewujudan peruntukan hukuman itu tidak bermaksud JPN sedang atau akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh terhadap orang ramai.

“Saya bercakap tentang Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara, bukan bagaimana hakim atau majistret hendak menjatuhkan hukuman. Apabila kita kuat kuasakan Peraturan 15, maksudnya setiap orang perlu menukar alamat jika berpindah. Tetapi ada ke kita tangkap? Tiada. Kita tidaklah begitu zalim untuk mendakwa seseorang semata-mata kerana tidak menukar alamat. Itu tidak akan berlaku,” katanya pada sidang media selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR): Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Datuk Badrul berkata sehingga kini JPN tidak menjalankan operasi khusus bagi mengambil tindakan terhadap individu semata-mata kerana gagal mengemas kini alamat pada MyKad.

Beliau menjelaskan kenyataan itu dibuat bagi memperbetulkan kekeliruan yang timbul di media sosial susulan kenyataannya mengenai kewajipan mengemas kini alamat pada MyKad.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menafikan dakwaan bahawa pertukaran alamat di JPN akan menyebabkan pusat mengundi seseorang berubah secara automatik.

Sebaliknya, selepas alamat dikemas kini pada MyKad, seseorang pemilih masih perlu mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi urusan pertukaran bahagian atau pusat mengundi mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

“Selepas tukar alamat dalam MyKad, orang ramai masih perlu pergi ke SPR untuk memohon pertukaran pusat mengundi. Ia tidak berubah secara automatik hanya kerana alamat dalam MyKad telah dikemas kini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan tidak membuat spekulasi sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.