
AYER KEROH, 23 Julai – Platform E-mel Rakyat kini boleh digunakan sebagai saluran komunikasi rasmi antara rakyat dengan Kerajaan Negeri Melaka.
- Domain rasmi @melaka.my menyediakan saluran digital tersusun, selamat dan dipercayai untuk komunikasi antara rakyat dan kerajaan negeri.
- Platform menyampaikan makluman rasmi mengenai bantuan, pendidikan, peluang pekerjaan serta perkhidmatan kerajaan negeri dan institusi pendidikan.
- Integrasi dengan eTAPEM, Melaka Pay, Sistem Tender Online, Lembaga Perumahan dan eTanah memudahkan akses perkhidmatan kerajaan negeri.
- Membolehkan rakyat berhubung langsung, memberi pandangan, komen dan cadangan yang boleh dijadikan asas pembentukan dasar baru.
Menerusi domain rasmi @melaka.my, ia menjadi saluran komunikasi digital yang lebih tersusun, selamat dan dipercayai.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi inisiatif itu rakyat akan menerima makluman rasmi berkaitan bantuan, pendidikan, peluang pekerjaan serta pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri, institusi
pendidikan dan komuniti.
Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penyebaran mesej menerusi aplikasi komunikasi yang tidak rasmi.
Beliau berkata platform itu turut memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri menerusi integrasi dengan sistem eTAPEM, Melaka Pay, Sistem Tender Online Melaka, Lembaga Perumahan Melaka dan eTanah.
“Ini adalah merupakan satu saluran komunikasi yang lebih tersusun, selamat dalam kaedah penyusunan dan juga pengurusan masyarakat bagi memastikan bahawa setiap rakyat dapat akses kepada semua maklumat-maklumat kerajaan negeri.
“… dan juga boleh berhubung secara langsung memberikan pandangan, memberikan komen ataupun memberikan cadangan yang akan kita kumpulkan untuk menjadikan satu dasar baru sekiranya cadangan mereka memberikan satu pandangan yang lebih baik”, katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian E-mel Rakyat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.
Setakat ini, sebanyak 203,000 akaun E-mel Rakyat telah berjaya didaftarkan.