Malaysia sasar 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050 – TPM Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof / RTM

PASIR MAS, 23 Julai- Kerajaan menyasarkan peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) kepada 35 peratus menjelang 2030 dan 70 peratus pada 2050 sebagai langkah memperkukuh agenda peralihan tenaga negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sasaran kerajaan selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk menjadikan sektor tenaga mampan, berdaya saing dan rendah karbon.
  • Malaysia mencapai kira-kira 31 hingga hampir 32 peratus kapasiti terpasang TBB antara Disember dan Jun, menunjukkan kemajuan berterusan.
  • Cabaran termasuk kesukaran mendapat sumber asli akibat geopolitik; memerlukan usaha bersama untuk memastikan keterjaminan bekalan tenaga.
  • Projek solar besar tunjuk kerjasama kerajaan dan swasta, menjana pekerjaan, merangsang ekonomi setempat serta galakkan penyertaan melalui program Solar ATAP.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sasaran itu selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi memastikan sektor tenaga negara lebih mampan, berdaya saing dan rendah karbon.

Menurut beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Malaysia telah mencapai 31 peratus kapasiti terpasang TBB sehingga Disember tahun lalu, manakala jumlah itu meningkat hampir 32 peratus setakat Jun tahun ini.

Beliau berkata cabaran sektor tenaga pada masa hadapan termasuk mendapatkan sumber asli yang semakin mencabar akibat faktor geopolitik, sekali gus memerlukan usaha bersama bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara.

“Kalau kita melihat cabaran yang kita hadapi pada masa akan datang ialah dari segi sektor tenaga yang mencabar disebabkan sumber asli yang payah kita peroleh kerana geopolitik.

“Ini untuk mengelakkan bukan sahaja bekalan daripada terjejas, tetapi supaya rakyat terlibat bersama dalam memastikan keterjaminan bekalan tenaga kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Solar Berskala Besar di Serongga, di sini, hari ini.

Mengulas projek berkenaan, Datuk Seri Fadillah berkata pembangunan solar berskala besar itu membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Kelantan dan sektor swasta dalam mempercepatkan agenda peralihan tenaga negara.

Katanya, selain menyumbang kepada bekalan elektrik negara, projek itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan, merangsang ekonomi setempat, memperkukuh pembangunan industri sokongan serta memberi manfaat kepada komuniti di Pasir Mas dan Kelantan.

Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan Program Peralihan Tenaga Solar Diperkukuhkan (Solar ATAP) yang disediakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi pemasangan panel solar di bumbung rumah, masjid, rumah ibadat dan premis komersial bagi meningkatkan penggunaan tenaga bersih di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.