
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan, perkongsiannya mengenai lambakan sampah di Dataran Merdeka selepas acara tontonan bola sepak Piala Dunia baru-baru ini bukan bertujuan mengkritik mana-mana pihak.
- Hannah Yeoh menegaskan perkongsiannya bertujuan mendidik masyarakat supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan, bukan mengkritik pihak tertentu.
- Budaya menjaga kebersihan perlu diamalkan oleh semua, tidak semestinya menyerahkan tugas pembersihan kepada orang lain.
- DBKL mendapati pokok landskap mati tetapi tidak akan menutup akses Dataran Merdeka; isu sampah tular cetus perdebatan kesedaran sivik.
Katanya, hantaran tersebut adalah usaha untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran, tanpa meletakkan tanggungjawab kepada pekerja pembersihan semata-mata.
“Budaya menjaga kebersihan ini perlu diamalkan walaupun kita kaya atau mempunyai pekerjaan profesional. Tak semestinya kita serahkan kerja pembersihan mengutip sampah sendiri kepada orang lain.
Dan untuk DBKL, mereka juga mengesan terdapat juga pokok-pokok landskap yang mati di kawasan berkenaan, Tapi ini tidak akan menghentikan DBKL daripada membuka akses Dataran Merdeka kepada orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Better SPM Brighter Future, iaitu program tuisyen percuma tajaan Tenaga Nasiona Berhad (TNB) untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di ibu negara, hari ini.
Isu kebersihan di kawasan awam kembali menjadi perhatian susulan tular gambar yang memaparkan timbunan sampah ditinggalkan pengunjung di lokasi awam, termasuk Dataran Merdeka, sehingga mencetuskan perdebatan mengenai tahap kesedaran sivik masyarakat.