
MASAI, 23 Julai – Kerajaan Johor akan memantau pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) secara lebih kerap, iaitu setiap tiga hingga enam bulan bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaannya kekal selaras dengan aspirasi transformasi pendidikan negeri.
- Pemantauan SRBJ dianggap penting sebagai inisiatif strategik bagi masa depan pendidikan dan generasi Bangsa Johor.
- Fasa pertama menunjukkan perkembangan positif termasuk infrastruktur, serta penerimaan guru dan murid terhadap pendekatan pembelajaran baharu.
- Kerajaan negeri memperkukuh ekosistem pembelajaran dengan kemudahan STEM seperti pencetak 3D, Arduino, robotik dan sistem autonomi.
- Pelaksanaan Program Dwibahasa diperluas untuk mempertingkat penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik; latihan guru di Singapura memberikan maklum balas positif.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, pemantauan berkala itu penting kerana SRBJ merupakan inisiatif strategik harapan masa depan pendidikan dan generasi Bangsa Johor.
Beliau berkata, pelaksanaan fasa pertama yang kini memasuki tempoh lebih setahun menunjukkan perkembangan positif, termasuk dari aspek penyediaan infrastruktur, penerimaan guru serta murid terhadap pendekatan pembelajaran baharu.
“Saya benar-benar melihat Sekolah Rintis Bangsa Johor ini sebagai yang amat penting kerana ia bukan perkara kecil. Sekolah ini membawa harapan bangsa dan harapan para pelajar, kerana merekalah yang akan berdepan dengan generasi dan dunia akan datang”, katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh ekosistem pembelajaran dengan penyediaan kemudahan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) seperti pencetak 3D, arduino, robotik dan sistem autonomi.
Selain itu, pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) diperluas bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke SRBJ di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Puteri 2, di Masai, Johor.
Tambahnya, guru-guru yang mengikuti latihan di Singapura turut memberikan maklum balas positif apabila dapat mengaplikasikan kaedah pembelajaran berkenaan di SRBJ.