
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Seramai 1,600 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada 40 sekolah menengah di ibu negara menerima bimbingan akademik percuma menerusi Program Better SPM Brighter Future sebagai persiapan menghadapi peperiksaan penting itu.
- Sumbangan RM276,200 daripada TNB untuk melaksanakan Program Better SPM Brighter Future anjuran YWP bersama JPWPKL.
- Peserta terdiri daripada pelajar memerlukan, terutama keluarga B40, dipilih melalui saringan Jabatan Pendidikan dan sekolah.
- Program memberi bimbingan empat subjek teras: Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik, meningkatkan keyakinan menghadapi peperiksaan.
Program anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) itu dilaksanakan menerusi sumbangan RM276,200 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelajar yang terpilih terdiri daripada golongan memerlukan, khususnya keluarga berpendapatan rendah, berdasarkan saringan yang dibuat oleh JPWPKL dan pihak sekolah.
“Pelajar-pelajar ini dipilih oleh Jabatan Pendidikan dan sekolah masing-masing daripada golongan yang memerlukan dan B40 sebagai bantuan persiapan terakhir. Mereka akan dibimbing dengan teknik untuk menjawab soalan agar lebih yakin dan bersedia ketika di bilik peperiksaan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Better SPM Brighter Future di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hannah yang juga Pengerusi YWP berkata, inisiatif itu bukan sahaja membantu meningkatkan tahap persediaan akademik calon SPM, malah meringankan beban kewangan ibu bapa yang tidak mampu menyediakan kelas tuisyen tambahan untuk anak-anak.
Katanya, program itu merangkumi bimbingan bagi empat subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik, yang dikenal pasti oleh pihak sekolah bersama JPWPKL sebagai subjek utama yang memerlukan pengukuhan.