
IPOH, 23 Julai – Dapatan Persidangan Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) 2026 perlu diterjemahkan kepada dasar, penyelidikan dan program yang memberi manfaat kepada masyarakat, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
- Perkukuh kerjasama terancang antara universiti, kerajaan, industri dan pertubuhan masyarakat agar hasil persidangan direalisasikan bukan hanya di peringkat akademik.
- USAS diharap teruskan cadangan melalui kajian lanjutan, penerbitan ilmiah, cadangan dasar dan pelaksanaan program pendidikan serta kemasyarakatan.
- Kerajaan Perak akan terus sokong budaya ilmu, inovasi, persefahaman masyarakat dan kerjasama antarabangsa demi manfaat rakyat dan negara.
Beliau berkata, usaha itu perlu diperkukuh menerusi kerjasama yang lebih tersusun antara universiti, kerajaan, industri dan pertubuhan masyarakat supaya hasil perbincangan persidangan tidak terhenti di peringkat akademik semata-mata.
Sehubungan itu, beliau berharap Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dapat meneruskan cadangan yang dibentangkan sepanjang persidangan menerusi kajian lanjutan, penerbitan ilmiah, cadangan dasar serta pelaksanaan program pendidikan dan kemasyarakatan.
“Nilai sebuah persidangan tidak terletak hanya pada jumlah kertas kerja yang dibentangkan atau bilangan negara yang mengambil bahagian. Nilainya terletak pada sejauh mana ilmu yang dikongsi mampu membentuk dasar yang lebih baik, melahirkan masyarakat yang lebih sejahtera dan menyumbang kepada sebuah dunia yang lebih adil,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia kali kelapan (WCIT 2026) di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Saarani turut memaklumkan, Kerajaan Perak akan terus menyokong usaha memperkukuh budaya ilmu, inovasi, persefahaman masyarakat serta kerjasama antarabangsa demi manfaat rakyat dan negara.
Persidangan selama tiga hari itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara dengan tema “Setiap Insan Dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam.”