
PUTRAJAYA, 22 Julai – Malaysia secara tegas menolak campur tangan asing, sekali gus teguh mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk ancaman atau campur tangan kuasa asing.
- Dr Zulkifli Hasan sokong pendirian Perdana Menteri Anwar: dasar luar berasaskan kedaulatan, undang-undang antarabangsa, nilai kemanusiaan dan sokongan Palestin.
- Malaysia tidak mengiktiraf entiti haram Israel dan tiada hubungan diplomatik, kekal berkecuali serta berani suarakan pelanggaran hak asasi.
- Rakyat diseru bersatu hati dan setia mempertahankan maruah, kebebasan serta kedaulatan Malaysia daripada ancaman atau campur tangan asing.
- Kenyataan susulan surat lapan ahli Kongres AS kepada Marco Rubio, mendesak tindakan berasaskan tuduhan tidak berasas yang mencabar kedaulatan.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan pihaknya menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan dasar luar negara yang berasaskan kedaulatan, prinsip undang-undang antarabangsa, nilai kemanusiaan serta pendirian konsisten Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Malaysia secara tegas tidak pernah mengiktiraf entiti haram Israel dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik, sebaliknya berdiri teguh dengan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip kekal berani menyuarakan kebenaran apabila berlaku pencabulan terhadap hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.
“Justeru, rakyat Malaysia disaran bersatu hati dan setia mempertahankan maruah, kebebasan serta kedaulatan Malaysia daripada sebarang bentuk ancaman atau campur tangan kuasa asing,”katanya.
Kenyataan itu susulan surat daripada lapan ahli Kongres Amerika Syarikat (A-S) yang mendesak Setiausaha Negara, Marco Rubio untuk mengambil tindakan berasaskan tuduhan tidak berasas yang jelas mencabar kedaulatan tanah air.