Dua lelaki didakwa seludup migran warga Myanmar

Dua lelaki warga asing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeludup tiga migran

KEMAMAN, 22 Julai – Dua lelaki warga asing termasuk seorang etnik Rohingya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyeludup tiga migran warga Myanmar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh: Mohamad Ismail Mohamad Siddik, 32, dan Muhammadtaofit, 25.
  • Dakwaan menyeludup tiga migran warga Myanmar di tepi Km 255.3 LPT2 dekat Jabor Perasing, 24 April kira-kira 11.30 pagi.
  • Didakwa bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan; hukuman hingga 20 tahun dan denda.
  • Hakim tidak benarkan ikat jamin; sebutan semula ditetapkan 18 Ogos. Pendakwaan oleh Noor Asyikin Hashim; tertuduh tanpa peguam.

Mohamad Ismail Mohamad Siddik, 32, dan warga Thailand Muhammadtaofit, 25, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyeludup tiga migran iaitu lelaki warganegara Myanmar di tepi Kilometer 255.3, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) dekat Jabor Perasing menghala ke arah Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.30 pagi, 24 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau kedua-duanya.

Hakim Wan Suhaila tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 18 Ogos depan untuk sebutan semula kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Asyikin Hashim, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum itu kedua-dua lelaki berkenaan tiba di Mahkamah Sesyen Kemaman kira-kira pukul 8.30 pagi dengan kenderaan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.